KENYATAAN PFA MALAYSIA MENGENAI LAPORAN FFP MFL BERHUBUNG DEKLARASI KEWANGAN KELAB LIGA MALAYSIA 2025–2026

 

Persatuan Pemain Pemain Bolasepak Malaysia (PFAM) mengesahkan bahawa kerjasama strategik telah dijalankan bersama Unit Financial Fair Play Malaysian Football League (FFP MFL) dalam proses pemantauan dan pengesahan status tunggakan pembayaran melibatkan dua kelab Liga Super, Kelantan The Real Warriors FC (TRW) dan PDRM FC bagi musim 2024–2025.

 

Melalui kerjasama ini, PFAM telah mengesahkan kepada FFP MFL mengenai kewujudan tunggakan gaji kedua-dua kelab terhadap pemain yang masih belum diselesaikan sehingga kini, termasuk tunggakan daripada musim terdahulu. Pengesahan ini selaras dengan ketetapan MFL yang mewajibkan semua kelab menghantar Deklarasi Tunggakan atau Tiada Tunggakan serta Laporan Penyata Kewangan pada 16 Oktober 2025.

 

PFAM menyokong sepenuhnya tindakan First Instance Body (FIB) dan FFP MFL yang telah:

 

  1. Menjalankan penilaian terhadap deklarasi yang wajib dikemukakan oleh semua kelab;
  2. Mengeluarkan siri amaran rasmi kepada Kelantan TRW FC dan PDRM FC;
  3. Menjatuhkan hukuman denda berturutan berjumlah RM10,000, RM20,000 dan RM40,000 selepas kegagalan pihak kelab mengemukakan sebarang bukti pembayaran atau pelan penyelesaian tunggakan;
  4. Serta mengenakan larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua musim 2025–2026.

 

PFAM memandang isu tunggakan gaji sebagai pelanggaran serius kerana ia memberi kesan langsung terhadap kebajikan, keselamatan kewangan dan kesinambungan kerjaya pemain. Kegagalan memenuhi kewajipan kontrak bukan sahaja menjejaskan kehidupan pemain tetapi turut menimbulkan risiko terhadap reputasi liga dan tahap profesionalisme pengurusan kelab.

 

PFAM menyokong tindakan tegas FIB dan FFP MFL yang dilaksanakan berlandaskan Artikel 14 Peraturan FFP MFL 2025–2026, termasuk pemberian tempoh sehingga 31 Disember 2025 kepada Kelantan TRW FC dan PDRM FC untuk menyelesaikan semua tunggakan sebelum tindakan tambahan yang lebih berat diambil mengikut Artikel 14(1)(e).

 

PFAM menegaskan bahawa pematuhan terhadap tanggungjawab kewangan kepada pemain merupakan asas penting dalam operasi kelab bola sepak profesional. Kepatuhan kewangan yang teratur diperlukan bagi memastikan hak pemain terpelihara serta mewujudkan ekosistem bola sepak Malaysia yang sihat, stabil dan berintegriti.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp