Assalamualaikum WBT,
Pertama sekali saya ingin memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, PFAM dapat beroperasi semula setelah menyepi dalam tempoh yang agak lama. Jujurnya,terdapat suatu perasaan yang hebat apabila melihat PFAM ini kembali beroperasi malah apabila saya terpilih selaku Presiden untuk menerajui kepimpinan kali ini, ia sememangnya merupakan antara penghormatan tertinggi yang pernah saya peroleh di sepanjang karier saya selaku pemain bolasepak profesional.
Kembali menyoroti objektif dan matlamat utama PFAM, sememangnya PFAM akan terus komited dalam memperjuangkan hak dan kebajikan para pemain. Mungkin ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa profesion selaku pemain bolasepak adalah juga merupakan suatu bidang kerja yang memerlukan kualiti pengurusan yang sangat rapi. Tambahan pula, dengan jangka hayat karier yang tidak sepanjang karier profesion yang lain, hak dan kebajikan para pemain haruslah diberikan perhatian yang lebih agar para pemain punya kesinambungan dalam kehidupan selepas karier. Inilah yang akan diperjuangkan oleh PFAM bagi memastikan taraf pengurusan pemain bolasepak profesional di Malaysia mampu menyamai taraf di luar negara. Isu-isu lapuk seperti tunggakan gaji, rawatan kecederaan yang tidak ditanggung dan penamatan kontrak tanpa notis akan ditangani dan adalah menjadi impian PFAM agar isu-isu ini dapat diselesaikan dan tidak akan berulang sampai bila-bila.
Suka juga untuk saya perjelaskan di sini, kehadiran PFAM bukanlah berniat untuk menimbulkan konflik dengan sesiapa khususnya majikan iaitu Persatuan atau Kelab. Saya menyedari, mungkin pihak majikan akan kurang senang dengan kehadiran kami, namun percayalah, PFAM merupakan penghubung terbaik antara majikan dan pemain dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Tugas PFAM juga adalah untuk memastikan yang sekurang-kurangnya para pemain mendapat pengadilan yang sepenuhnya sekiranya wujud permasalahan yang berlaku dan sekiranya kerjasama yang utuh dapat dijalinkan antara kedua-dua pihak, saya percaya kita akan dapat mempertingkatkan kualiti profesionalisma bolasepak di negara kita secara bersama.
Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru semua pemain bolasepak profesional di Malaysia untuk menjadi ahli berdaftar dengan PFAM agar hak dan kebajikan kalian dapat dibela di masa hadapan. Ini adalah persatuan kita, rumah kita, perisai kita dan boleh juga menjadi senjata kita. Mari bersama saya, untuk menjaga dan membela hak kita semua. Ingatlah, perjuangan kita hari ini, jerit perit kita hari ini, akan menjadi hadiah paling indah buat penyambung legasi kita di masa hadapan.
Sekalung penghargaan juga buat barisan exco dan barisan eksekutif yang sudi untuk bersama dalam perjuangan ini. Sesungguhnya kalian adalah tunjang dalam menggerakkan PFAM dan saya tanpa sedikitpun rasa ragu, percaya betapa PFAM akan gemilang dengan kehadiran kalian dalam barisan kali ini.
Akhir kata, kaki sudah di padang, bola sudah di kaki, maka ayuh, rembat sekuat hati!
Hairuddin Omar
Presiden
PFA Malaysia