
Persatuan Pemain Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Fakulti Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di Ibu Pejabat PFAM, Kuala Lumpur semalam.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Dekan Fakulti Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, YM Prof. Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, bersama empat orang wakil fakulti yang lain.
Delegasi PFAM pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia En. Izham Ismail, Eksekutif Acara dan Keahlian, Cik Alisa Farhana Zukari, Eksekutif Pentadbiran Cik Hanani Azrin serta Eksekutif Komunikasi, En. Afiq Eizzuddin Ahmad Shaupi.
Turut hadir mewakili Fakulti Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam ialah Prof. Madya Dr. Hosni Hassan, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Hubungan Industri), Dr. Wan Atiya Wan Ibrahim Pensyarah Kanan, Dr. Nurul Hidayah Amir Pensyarah Kanan, En. Zakwan Rusydi Pensyarah dan alumni FSR Hanif Miswan.
Pertemuan ini menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang sukan, khususnya berkaitan pembangunan bola sepak, pendidikan, pengurusan dan hubungan industri.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah perancangan untuk menganjurkan kursus jangka pendek selama dua hari khusus untuk pemain bola sepak profesional. Kursus ini dirangka bagi memberi peluang kepada pemain memperluas pengetahuan, meningkatkan kemahiran diri serta melengkapkan mereka dengan ilmu yang bermanfaat sepanjang dan selepas karier profesional sebagai pemain bola sepak.
Kursus tersebut bakal memberi penekanan kepada aspek sains sukan dan pengurusan sukan, selain merangkumi kelas komunikasi bersama media. Pendedahan dalam bidang sains sukan dapat membantu pemain memahami dengan lebih baik aspek prestasi, kecergasan dan penjagaan diri, manakala pengetahuan pengurusan sukan memberi pemahaman mengenai industri sukan secara lebih menyeluruh.
Pada masa sama, kelas komunikasi bersama media akan memberi pendedahan kepada pemain tentang cara berinteraksi secara profesional dengan pengamal media, menyampaikan pandangan dengan jelas serta mengendalikan sesi temu bual dengan lebih yakin. Kemahiran ini penting dalam membina imej profesional, menjaga reputasi serta mengukuhkan hubungan pemain dengan media dan peminat.
PFAM melihat inisiatif ini sebagai satu langkah penting dalam memperkasa pembangunan pemain secara menyeluruh, bukan sahaja dari sudut prestasi di atas padang, malah melalui pembinaan kemahiran insaniah dan pengetahuan di luar padang. Pendedahan kepada bidang berkaitan juga diharap dapat membantu pemain membuat persediaan awal untuk meneroka peluang kerjaya dalam industri sukan selepas menamatkan karier sebagai pemain profesional.
Kerjasama antara PFAM dan Fakulti Sukan & Rekreasi UiTM Shah Alam ini diharap dapat mengukuhkan hubungan antara institusi akademik dengan komuniti bola sepak profesional, sekali gus membuka lebih banyak ruang pembelajaran dan pembangunan untuk pemain di Malaysia.
PFAM merakamkan penghargaan kepada delegasi Fakulti Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam atas kesudian mengadakan kunjungan hormat ini. Semoga pertemuan ini menjadi langkah permulaan kepada kerjasama berterusan yang memberi manfaat kepada pemain bola sepak profesional serta pembangunan ekosistem bola sepak negara.





