PFAM dan APPI Perkukuh Kerjasama Menerusi “Women’s Football Knowledge Exchange Program”

 

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia) meneruskan usaha memperkukuh pembangunan bola sepak wanita menerusi lawatan ke Asosiasi Pesepakbola Profesional Indonesia (APPI) di Ibu Pejabat APPI, Jakarta, menerusi program “Women’s Football Knowledge Exchange Program”.

Delegasi PFA Malaysia yang terdiri daripada Cik Hanani Azren, Eksekutif Pentadbiran; Cik Alisa Farhana, Eksekutif Pengurusan Acara & Keahlian; dan En. Afiq Eizzuddin, Eksekutif Komunikasi, telah disambut oleh barisan delegasi APPI yang diketuai Gotcha Mitchel, Setiausaha Agung APPI.

Turut hadir mewakili APPI ialah Andritany Ardhiyasa & Yolanda Kris Monica selaku Eksekutif di APPI. Jannes H. Silitonga, Ketua Unit Perundangan APPI serta Willy Kamaludin, Ketua Unit Komunikasi & Hubungan Pemain.

Program ini turut disertai wakil FIFPRO Asia & Oceania, iaitu Shoki Tsuji, Setiausaha Agung FIFPRO Asia & Oceania, serta Maria Khan, yang memberikan perspektif dan pengalaman berkaitan perkembangan bola sepak wanita serta peranan kesatuan pemain di peringkat serantau.

Program Women’s Football Knowledge Exchange Program menjadi platform kepada PFA Malaysia dan APPI untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan serta pendekatan masing-masing dalam menyokong perkembangan bola sepak wanita dan memperkasakan pemain wanita.

Sepanjang sesi berlangsung, kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai pelbagai aspek berkaitan pemain wanita, termasuk kebajikan pemain, perlindungan hak, pembangunan kerjaya, penglibatan pemain serta usaha membina ekosistem bola sepak yang lebih profesional dan mampan.

Perkongsian bersama APPI turut memberikan peluang kepada PFA Malaysia untuk memahami pengalaman Indonesia dalam pembangunan bola sepak wanita, termasuk cabaran yang dihadapi serta pendekatan yang digunakan dalam memastikan kepentingan pemain terus diberi perhatian.

Kehadiran wakil FIFPRO Asia & Oceania pula menambah perspektif serantau kepada program ini, khususnya mengenai kepentingan kerjasama antara kesatuan pemain dalam memperkukuhkan suara pemain dan meningkatkan standard kebajikan serta perlindungan pemain wanita.

Bagi PFA Malaysia, pembangunan bola sepak wanita bukan hanya tertumpu kepada peningkatan pertandingan dan penyertaan pemain, tetapi turut merangkumi usaha membina ekosistem yang mampu menyokong pemain dari aspek profesionalisme, kebajikan, pembangunan kerjaya dan hak mereka sebagai pemain.

Pertemuan bersama APPI juga membuka ruang untuk kedua-dua organisasi mengenal pasti persamaan serta perbezaan dalam landskap bola sepak wanita Malaysia dan Indonesia, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak perkongsian ilmu dan kerjasama pada masa hadapan.

PFA Malaysia merakamkan penghargaan kepada APPI dan seluruh delegasi yang diketuai Gotcha Mitchel, serta FIFPRO Asia & Oceania, Shoki Tsuji dan Maria Khan, atas sambutan, perkongsian ilmu dan keterbukaan sepanjang program berlangsung.

Women’s Football Knowledge Exchange Program ini diharap menjadi salah satu langkah dalam memperkukuh jaringan antara organisasi pemain di rantau Asia Tenggara serta membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif bersama demi kepentingan dan pembangunan pemain wanita.

Dari Malaysia ke Indonesia, daripada pemain kepada pemain bersama-sama membina masa depan bola sepak wanita yang lebih baik.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp