Sidang Media PFAM Berkenaan Isu Tunggakan Gaji Pemain Perlis FA

Isu tunggakan gaji pemain Perlis FA (PFA) telah berlarutan sejak bulan Jun 2014. PFAM turut dimaklumkan bahawa satu perjumpaan telah dibuat antara para pemain dengan pihak Perlis F.A yang dihadiri oleh Timbalan Presiden pada 11 September 2014. Dalam perjumpaan tersebut, pihak Perlis F.A hanya akan membayar gaji para pemain yang tertunggak untuk bulan Jun 2014 sahaja dan tidak akan membayar gaji pemain dari bulan Julai sehingga November 2014. Dukacitanya, PFAM merasakan perkara ini adalah tidak adil dan pihak Perlis F.A telah mengingkari Kontrak Pemain yang telah dipersetujui bersama.

PFAM telah mengikut segala prosedur yang disediakan bagi memohon penjelasan dan tindakan daripada PFA untuk menyelesaikan isu ini. Namun begitu, setelah hampir 4 bulan, PFAM masih tidak mendapat sebarang respon daripada PFA. PFAM turut menghantar affidavit kepada Jawatankuasa Status FAM namun tetap tiada jawapan yang diberikan. Oleh hal yang demikian, PFAM menerusi Penaung, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim telah membuat tuntutan secara terbuka kepada PFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji selama 5 bulan kepada para pemain. Lantaran tuntutan tersebut, PFA telah memberi respon balas namun respon yang diberikan oleh pentadbiran PFA mempunyai percanggahan yang akhirnya mendatangkan kekeliruan. Hakikatnya, PFAM tidak akan membiarkan isu ini terus meleret kerana ia akan membuatkan para pemain terus merana. PFAM turut mengkritik secara keras berkenaan kelemahan pengurusan PFA dalam menguruskan dana pasukan yang PFAM sifatkan sebagai salah tadbir. Memetik kata-kata CEO PFAM, Izham Ismail ketika ditemubual oleh wartawan Astro Arena, “PFAM tidak akan teragak-agak untuk menggunakan saluran mahkamah dan mengadu isu ini kepada FIFA sekiranya tunggakan gaji ini tidak diselesaikan secara persetujuan bersama”.

Justeru, bagi memberikan pemahaman yang sama kepada semua pihak, PFAM akan mengadakan sidang media berkenaan isu tunggakan gaji ini. Sidang media ini akan dihadiri sendiri oleh para pemain yang membuat tuntutan bersertakan Presiden PFAM, Hairuddin Omar dan CEO PFAM, Izham Ismail. Butiran sidang media adalah seperti berikut :

Tarikh: 30 Disember 2014

Masa: 2.00 – 3.00 petang

Lokasi: Gloria Jean’s Coffees, Unit 2, Aras 1, Blok K, SetiaWalk, Persiaran Wawasan Pusat Bandar Puchong, 47160, Puchong, Selangor.

Sehubungan itu, PFAM ingin menjemput rakan-rakan media untuk membuat liputan di sidang media ini. Diharapkan, menerusi sidang media ini, pencerahan berkenaan isu ini dapat dilakukan dengan lebih jelas dan sistematik.

 

Tuan Muhammad Arief
Eksekutif Pemasaran & Komunikasi
PFA Malaysia

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp