Misi Bantuan Banjir PFAM Ke Manek Urai

Pada 10 Januari 2015, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama Tiaranita (Persatuan Isteri-Isteri dan Anggota Wanita TM) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) telah ke Manek Urai dalam misi mengagihkan barangan keperluan kepada mangsa-mangsa banjir khususnya di Manek Urai.

Misi dengan kekuatan anggota seramai 35 orang telah ke sana dengan diketuai oleh Presiden PFAM, saudara Hairuddin bin Omar dan CEO PFAM iaitu Izham Ismail. Turut sama hadir adalah saudara Azlan Johar yang mewakili Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia. Turut menyertai misi ini ialah kumpulan penyokong pasukan Kelantan dan Terengganu. Rasional PFAM memilih tempat ini adalah kerana Manek Urai merupakan antara tempat yang paling teruk terjejas akibat banjir.

Rata-rata peserta cukup terkesan dengan keadaan yang berlaku sejurus tiba di sana. Rumah yan didiami oleh penduduk rosak teruk dan mereka terpaksa berlindung di khemah-khemah yang telah disediakan oleh badan-badan amal yang lain. PFAM telah menghulurkan sumbangan kepada 50 keluarga yang berupa barangan keperluan harian seperti, bantal, selimut, tikar, alatan memasak dan barangan asas seperti air mineral, minyak masak, gula dan sebagainya.

PFAM juga berkesempatan untuk meninjau dan beramah mesra dengan penduduk di sana. Sebelum berangkat pulang, saudara Hairuddin Omar melahirkan rasa sedih dan hiba atas apa yang berlaku. Beliau juga sempat berpesan kepada penduduk-penduduk supaya tabah menjalani kehidupan yang mendatang kerana ini merupakan ujian dari Allah S.W.T.

PFAM ingin mengajak badan-badan korporat untuk tampil membantu mangsa-mangsa banjir kerana mereka memerlukan bantuan dari pihak luar. Selain itu, Hairuddin Omar ingin menyampaikan mesej kepada semua pihak bahawa pemain bolasepak profesional melalui PFAM prihatin terhadap isu-isu semasa dan sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat selagi termampu.

 

“SUPPORTING THE PLAYERS, BUILDING THE GAME”

 

Tuan Muhammad Arief
Eksekutif Pemasaran & Komunikasi
PFA Malaysia

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp