10 Langkah Menghadapi Kecederaan Dengan Bijak

Sudah menjadi asam-garam bagi seseorang pemain bola sepak untuk mendapat kecederaan sama ada di dalam ataupun di luar padang. Bagi sesetengah pemain, kecederaan dihadapi mungkin mengambil masa yang singkat untuk pulih dan bagi kes yang lebih berat pula, ia mungkin membelenggu diri hingga berbulan-bulan lamanya. Walaupun tanggungjawab untuk menangani kecederaan terletak di bahu fisioterapis dan doktor yang merawat, tuan punya badan haruslah juga memainkan peranan aktif demi menjamin kelancaran proses pemulihan. Untuk menghadapi kecederaan dengan bijak, luangkan sedikit masa untuk memahami tips di bawah. Mungkin anda sudah mengetahui kesemua poin yang dinyatakan, tetapi pernahkah anda mempratikkannya?

Memahami jenis kecederaan

Secara amnya, kecederaan boleh dibahagikan kepada akut dan kronik. Sesuatu kecederaan dianggap akut apabila ia terjadi secara tiba-tiba dan bersifat traumatik seperti terseliuh, terjatuh ataupun berlaga dengan orang lain. Selalunya ia akan disusuli dengan sakit serta bengkak dengan serta-merta.

Kecederaan kronik pula datang dengan perlahan-lahan dan selalunya berpunca daripada overuse, struktur badan yang tidak normal ataupun biomekanik yang kurang betul. Tahap kesakitan ia tidaklah setinggi kecederaan akut, tetapi dalam jangka masa panjang kecederaan jenis ini boleh menjadi lebih serius.

Ais bukanlah segala-galanya

Dalam dunia medikal ketika ini, wujudnya perbahasan sekiranya ais masih lagi relevan untuk digunakan sebagai rawatan awal kecederaan. Ya, ais boleh dikatakan cara paling pantas dan mudah untuk merawat bahagian yang tercedera terutamanya ketika berada di padang tetapi anda perlu faham sejauh mana keberkesanan ais ini ke atas kecederaan yang menimpa diri anda. Bagi kecederaan akut, ais boleh digunakan dalam masa 48 jam pertama selepas kecederaan untuk mengurangkan rasa sakit serta bengkak dan selepas itu, efeknya akan berkurangan. Ia juga digunakan ketika proses rehabilitasi dengan tujuan untuk mengebaskan tempat yang sakit sebelum membuat senaman. Oleh itu, sekiranya anda pernah membaluti buku lali yang terseliuh dengan ais selama seminggu, fikirlah semula sama ada ia sebenarnya membantu ataupun tidak.

Ubat tahan sakit tidak menyelesaikan masalah

Penggunaan ubat tahan sakit secara oral bagi tujuan mengatasi kesakitan pada      peringkat awal kecederaan merupakan salah satu rawatan untuk membantu proses pemulihan tetapi sekiranya ia disalahgunakan, lain pula akibatnya. Sudah menjadi   seperti satu trend di mana pemain acap kali mengambil ubat sebelum latihan atau perlawanan dengan alasan “nak kurangkan sakit ketika beraksi nanti”.            Mungkin ada yang masih belum merasai kesan-kesannya, tetapi untuk yang prihatin, tibalah masa untuk anda bertanggungjawab terhadap diri sendiri kerana yang menanggung di kemudian hari bukanlah orang lain tetapi anda juga.

Mengenali kecederaan dengan lebih mendalam

Jadikan satu amalan untuk bertanyakan sebanyak soalan yang mungkin kepada doktor atau fisioterapis mengenai kecederaan anda. Sebagai contoh, “Adakah normal untuk lutut terus bengkak sebulan selepas pembedahan rekonstruksi ACL?”, “Adakah besi yang dimasukkan dalam buku lali ini akan mengganggu teknik sepakan saya kelak?” ataupun “Mengapa saya masih berasa sakit selepas melakukan rawatan?”. Sesungguhnya, jangan malu atau takut untuk bertanyakan soalan.

Apabila perasaan ingin tahu ini dipupuk, ia akan menimbulkan kesedaran untuk anda menjadi lebih peka terhadap perubahan dan tindak balas yang berlaku dalam diri anda sepanjang proses pemulihan.

Berikan komitmen 100%

Apabila seseorang atlet yang cedera mengharungi proses rehabilitasi, kami sentiasa mengharapkan agar mereka memberi komitmen 100% seperti mana mereka   memberi komitmen ketika latihan bersama pasukan. Jangan sesekali mengambil       mudah akan proses ini. Pastikan fisioterapis anda berbincang dengan anda terlebih dahulu mengenai strategi yang diambil agar proses pemulihan berjalan dengan lancar seperti kesesuaian jadual, ketahanan fizikal semasa serta faktor-faktor berkaitan.

Ambil tahu apa yang diberikan kepada anda

Sekiranya anda terpaksa menerima suntikan atau ubat daripada doktor ketika proses rehabilitasi, pastikan anda mengambil tahu bahan-bahan yang terkandung didalamnya, berapa dos perlu diambil, apakah fungsinya serta kesan daripada pengambilan suntikan/ubat berkenaan. Tidak salah untuk anda bertanya dengan lebih terperinci kerana anda berhak untuk mengetahui apa yang dimasukkan ke      dalam badan anda.

Rawatan alternatif – Urut? Bomoh? Akupuntur? Kiropraktor?

Kadang-kala proses rehabilitasi boleh menjangkau durasi yang panjang dan tidak   dinafikan terdapat sesetengah daripada anda menjadi patah semangat dan tertanya-tanya jikalau terdapat rawatan alternatif di luar sana yang boleh mempercepatkan kadar pemulihan. Anda tidak salah untuk berfikiran sebegitu dan sekiranya anda bercadang untuk mencuba rawatan alternatif, rujuklah dulu kepada doktor atau fisioterapis anda dan seelok-eloknya janganlah menyorokkan ia daripada mereka.

Jadi lebih proaktif

Berikan maklum balas kepada fisioterapis anda terhadap rawatan dan program rehabilitasi yang diberikan selepas beberapa sesi. Seperti contoh, sekiranya badan anda memberi respon positif atau negatif terhadap sesuatu teknik rawatan, beritahu kepada mereka. Ataupun jikalau anda ingin memberi cadangan agar senaman rehabilitasi menjadi lebih menarik dan tidak bosan, lontarkan sahaja          pendapat anda. Mungkin tidak semua fisioterapis mengamalkan sikap terbuka sebegini, tetapi secara peribadi saya suka memberi ruang kepada atlet untuk membuat sedikit keputusan mengenai proses rehabilitasi mereka.

Jagalah diri, anda aset negara/pasukan!

Seboleh-bolehnya jauhkan diri daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang berisiko tinggi sehingga boleh menyebabkan kecederaan anda lebih teruk ataupun membantutkan proses pemulihan seperti membawa motor, memandu dengan berbahaya ataupun terlibat dalam pergaduhan.

Berfikiran positif

Mengharungi proses pemulihan bukanlah mudah kerana memang tidak dinafikan     anda akan berasa ketinggalan jika dibandingkan dengan rakan-rakan sepasukan lain yang berlatih seperti biasa. Jangan asingkan diri anda ketika mereka berlatih di padang kerana anda masih boleh belajar sesuatu walaupun sekadar memerhati. Anda juga boleh merujuk kepada rakan yang pernah mengalami       kecederaan yang sama dan meminta nasihat daripada mereka. Sesungguhnya, anda perlu menanamkan pemikiran positif dan sentiasa bermotivasi dalam menghadapi senario sebegini.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp