Pada 21 Januari 2025, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah memulakan inisiatif #PFAMTOUR2025 buat pertama kali untuk tahun 2025 dengan mengadakan kunjungan ke pasukan PDRM FC yang bertempat di PULAPOL, Kuala Lumpur.
Program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara PFAM dan kelab bola sepak profesional di Malaysia, di samping menawarkan keahlian baharu dan memperbaharui keahlian pemain yang sedia ada.
Lawatan ini berfokus kepada mendidik para pemain bola sepak profesional mengenai hak dan tanggungjawab mereka, melindungi kepentingan mereka dari segi undang-undang, dan menyediakan platform untuk pemain memahami peranan PFAM dalam memperjuangkan kebajikan mereka.
Wakil PFAM yang hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Izham Ismail, dan Timbalan Presiden, Encik Razman Roslan. Mereka telah membincangkan secara terperinci mengenai manfaat menjadi ahli PFAM, hak pemain, dan saluran yang betul untuk menangani isu seperti kontrak, tuntutan gaji, dan memastikan pemain mendapat sokongan serta maklumat yang diperlukan dalam menjalani kerjaya mereka.
Selain itu, sesi turut menyentuh pergerakan global pemain bola sepak profesional di bawah FIFPRO. Topik ini menekankan kepentingan suara kolektif pemain dalam memperbaiki keadaan kerja dan melindungi hak mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Program ini diakhiri dengan seruan PFAM untuk terus komited dalam melindungi, mendidik, dan menyatukan pemain bola sepak profesional di Malaysia. Melalui #PFAMTOUR2025, PFAM berharap dapat terus memperkukuh hubungan bersama pasukan bola sepak tempatan dan memastikan hak serta kebajikan pemain sentiasa terjamin.
Untuk gambar penuh :