MAKNA HARI THAIPUSAM SEBAGAI SEORANG PEMAIN BOLA SEPAK

 

Setiap tahun, masyarakat Hindu di Malaysia dan seluruh dunia menyambut perayaan Thaipusam, sebuah hari suci yang melambangkan keimanan, keazaman, dan pengorbanan. Bagi pemain bola sepak yang beragama Hindu, Thaipusam bukan sekadar perayaan keagamaan tetapi juga satu refleksi terhadap nilai-nilai yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Menurut Shivan, Thaipusam mengajarnya tentang ketaatan yang teguh kepada Dewa Murugan. Sebagai seorang pemain bola sepak, keimanan kepada keupayaan diri sendiri dan disiplin dalam latihan adalah kunci kejayaan. Seperti mana penganut Hindu melakukan persiapan spiritual dan fizikal sebelum Thaipusam, pemain bola sepak juga perlu sentiasa bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran di atas padang.

Dalam masa yang sama, sepanjang sambutan Thaipusam, ramai penganut melakukan sumpah atau nazar dan penebusan dosa dengan membawa kavadi, berpuasa, atau berjalan kaki dalam jarak yang jauh. Semua ini memerlukan kesabaran dan ketahanan diri yang tinggi. Dalam bola sepak, ketahanan fizikal dan mental sangat penting, terutamanya ketika menghadapi tekanan dalam perlawanan atau ketika pasukan mengalami kekalahan. Seorang pemain perlu bersabar dan terus berusaha tanpa berputus asa.

Seorang pemain perlu berkorban masa bersama keluarga untuk menjalani latihan, menyertai perlawanan dan berusaha mencapai tahap tertinggi dalam karier mereka. Namun, seperti mana Thaipusam sering disambut bersama keluarga, bola sepak juga membentuk sebuah keluarga kedua dalam kalangan rakan sepasukan, jurulatih, dan penyokong.

Bagi pemain pertahanan Perak FC ini, ibu bapa dan keluarga adalah tulang belakang kejayaan saya. Seperti mana ibu bapa menyokong anak-anak mereka dalam menyambut Thaipusam dengan menemani mereka ke kuil, membantu dalam persiapan, dan memberi semangat. Keluarga juga memainkan peranan penting dalam menyokong perjalanan seorang atlet. Tanpa restu dan dorongan mereka, seorang pemain mungkin sukar untuk mencapai kejayaan yang diimpikan.

Thaipusam mengingatkan saya tentang keyakinan, pengorbanan, kesabaran, dan kekeluargaan. Nilai-nilai yang bukan sahaja penting dalam agama, tetapi juga dalam sukan bola sepak kerana seorang pemain, kekuatan mental dan fizikal, serta sokongan keluarga dan rakan sepasukan, adalah kunci utama dalam menempuh perjalanan karier mereka.

Saya juga ingin mencuri peluang untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Thaipusam kepada semua pemain dan peminat bola sepak yang beragama hindu. Semoga perayaan ini membawa ketenangan, keberkatan, dan kejayaan dalam kehidupan. 


 

 

 

 

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp