Hari Sukan Negara

Pada 10 Oktober 2015 ini, buat julung kalinya kita akan menyambut Hari Sukan Negara. Idea sambutan hari ini telah digagaskan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin bertujuan untuk mewujudkan budaya bersukan kepada semua rakyat Malaysia. Selari dengan iltizam “Sports for All”, Hari Sukan Negara harus dianggap sebagai sebuah manifestasi untuk kita merakyatkan sukan dan tidak menjadikan sukan sebagai suatu bidang yang eksklusif kepada golongan tertentu sahaja.

PFAM melihat Hari Sukan Negara sebagai sebuah wadah yang mempunyai visi yang jelas dalam membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam erti kata yang lain, ia menggambarkan betapa sukan itu sebenarnya merupakan suatu pengamalan yang boleh dilakukan di mana-mana dan oleh sesiapa jua. Dari seasas bermain badminton di halaman rumah hinggalah bermain bolasepak di stadium utama, ini semua adalah rencah dalam menjadikan sukan sebagai resipi yang sesuai dinikmati semua. Selain itu, ia juga selari dengan impian PFAM yang sentiasa berusaha untuk merakyatkan sukan bola sepak kepada rakyat Malaysia.

Bersempena dengan Hari Sukan Negara yang bakal disambut pada 10 Oktober 2015 ini, PFAM dengan penuh rasa bangga dan teruja, menyatakan sokongan kepada sambutan Hari Sukan Negara yang PFAM percaya, bakal menjadi suatu titik tolak ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah “Negara Bersukan”.

Semoga permulaan ini akan menjadikan sukan sebagai sebuah budaya dan seterusnya melahirkan DNA Sukan yang berkualiti demi Malaysia di peringkat dunia. Majulah sukan untuk negara, sukan untuk semua!

 

Izham Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
PFA Malaysia

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp