BARISAN KEPIMPINAN PFA MALAYSIA MELAWAT ADRA MEDINA

Barisan kepimpinan PFA Malaysia hadir ke kediaman mertua Mohd Alafi Mahmud, bapa kepada adik Adra Medina yang mengidap penyakit jantung di Sungai Buloh hari ini bagi melawat dan menyampaikan sumbangan berjumlah RM9,637 hasil kutipan yang dijalankan sebelum ini dan juga sedikit ole-ole untuk persiapan Aidilfiri.

Antara yang hadir adalah Presiden PFA Malaysia Hairuddin Omar, Timbalan Presiden PFA Malaysia Rezal Zambery Yahya, Bendahari PFA Malaysia Amiridzuan Taj, Exco PFAM Rudie Ramli dan Mohd Fairuz Abdul Aziz serta CEO PFA Malaysia Izham Ismail.

Penghargaan diberikan kepada pemain-pemain dari skuad kebangsaan, skuad Pulau Pinang, skuad Perlis, skuad Felda dan pemain-pemain dari pasukan lain yang memberi sumbangan secara individu atas sumbangan dan keprihatinan yang telah diberikan.

Presiden PFA Malaysia, Hairuddin Omar nyata bersyukur inisiatif ini mencapai matlamatnya.

“PFA Malaysia sentiasa mengambil berat akan kebajikan dan sumbangan dari rakan-rakan pemain membuktikan solidariti antara pemain di Malaysia amat kuat dan hal ini terbukti dengan penyerahan sumbangan kepada saudara Alafi hari ini”

“Semoga sumbangan ikhas ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan saudara Alafi” tambah Hairuddin.

Hal ini merupakan rentetan dari inisiatif PFA Malaysia mengadakan kutipan dana “Titipan Sinar Harapan PFAM Untuk Adra Medina” yang dimulakan pada 2 Jun yang lalu.

Kutipan dana ini mendapat perhatian meluas dari orang ramai, bahkan media massa juga turut membuat liputan mengenai perkembangan Adik Adra Medina ini. Tidak ketinggalan, ahli-ahli PFA Malaysia yang lain turut memberikan sumbangan.

Tanggal 4 Jun, PFA Malaysia menerima perkhabaran gembira apabila Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim akan menampung keseluruhan kos pembedahan pertama adik Adra Medina yang telah dijalankan pada 10 Jun lalu.

Bagi Alafi, beliau bersyukur kerana pembedahan pertama yang dijalankan memberikan kesan yang positif buat Adik Adra Medina.

“Keadaan Adra semakin stabil dan buat masa ini Adra memerlukan penjagaan yang rapi untuk memastikan pemulihan yang maksimum sebelum pembedahan susulan apabila berat Adra mencecah 10-kilogram nanti”

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada PFA Malaysia atas inisiatif ini, tidak lupa juga kepada Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang sudi menampung kos pembedahan pertama, ahli PFA Malaysia dan orang ramai yang memberikan sumbangan dan menularkan mengenai perkara ini”. Jelas Alafi.

Sebarang sumbangan selepas ini boleh terus disalurkan kepada akaun peribadi CIMB Bank Adra Medina Mohd Alafi – 7622031000.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp