KEADILAN UNTUK PEMAIN FUTSAL WANITA

1. PFA Malaysia ingin memberi respon terhadap isu yang menimpa para pemain futsal wanita pasukan Kuala Lumpur.

2. Baru-baru ini, telah berlakunya kontroversi yang melibatkan para pemain memboikot perlawanan pasukan disebabkan oleh isu gaji yang tidak dibayar.

3. PFA Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Izham Ismail bersama Exco Wanita PFAM, Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh, telah pun mengadakan pertemuan dengan sebahagian pemain bagi mendengar penjelasan lanjut daripada mereka.

4. Berdasarkan penjelasan yang diberikan, para pemain mendakwa bahawa pihak pengurusan telah pun bersetuju untuk menawarkan gaji / elaun sebanyak RM 1,400 kepada semua pemain bagi tujuan penyertaan liga futsal ini yang dijadualkan berlangsung secara karnival bermula pada 8 Mac 2022 hingga 23 Mac 2022.

5. Menurut mereka, pihak pengurusan telah berjanji untuk membuat bayaran tersebut SEBELUM perlawanan pertama yang bermula pada 8 Mac 2022. Namun begitu, para pemain tidak pun menerima bayaran sepertimana yang dijanjikan.

6. Seterusnya, para pemain telah dijanjikan sekali lagi bahawa bayaran akan dibuat pada 15 Mac 2022. Walaupun begitu, para pemain memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang pembayaran seperti yang telah dijanjikan.

7. Selain tidak menerima gaji pada tarikh yang dijanjikan, para pemain telah berhadapan siri-siri kesusahan di sepanjang penyertaan mereka mewakili pasukan Kuala Lumpur di dalam liga ini. Berdasarkan aduan pemain, mereka telah dihalau dari penginapan ‘homestay’ mereka akibat pengurusan yang tidak membayar sewa penginapan, mereka juga dipaksa keluar (check-out) daripada hotel penginapan akibat kegagalan pembayaran, selain terpaksa menanggung sendiri kos pengangkutan dan makanan.

8. Lebih mendukacitakan, para pemain tidak diberikan kontrak / surat tawaran yang menyatakan tentang pemberian gaji sebanyak RM1,400, tetapi hanya diberikan Surat Tawaran yang menyatakan pemberian elaun bulanan sebanyak RM100 sahaja – yang ternyata amat jauh berbeza sepertimana yang dijanjikan.

9. Para pemain juga mendakwa bahawa alasan skuad Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19 hanyalah merupakan helah yang dibuat oleh pihak pengurusan bagi melindungi “kisah sebenar” ketidakhadiran para pemain dalam perlawanan yang melibatkan pasukan Kuala Lumpur dan pasukan Melaka United.

10. Berdasarkan aduan yang dibuat oleh para pemain, PFAM merasakan bahawa wujud unsur penganiayaan yang wajar diberikan perhatian secara serius oleh pihak pengurusan Kuala Lumpur dan juga pihak penganjur Liga Futsal, iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia.

11. Selain itu, PFAM ingin memohon penjelasan jika sewaktu hari perlawanan, pengurusan pasukan Kuala Lumpur memberikan alasan Covid-19 berkenaan ketidakhadiran pemain, adakah SOP Penganjuran Liga masih diteruskan memandangkan ia berpotensi untuk memberi risiko keselamatan kepada para pemain, pegawai dan urusetia?

12. Sehubungan itu, PFAM ingin menggesa agar suatu siasatan khas dijalankan bagi mengenal pasti punca berlakunya perkara ini, dan PFAM turut menggesa agar wakil pengurusan Futsal Wanita Kuala Lumpur, tampil bagi memberikan penjelasan berhubung perkara ini.

13. Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila melihat para pemain bolasepak/futsal wanita di Malaysia diperlakukan seperti ini sekalipun mereka masih bertaraf amatur. PFAM sangat menentang sebarang urustadbir yang sangat tidak profesional, dan akhirnya memberi kesan kepada kebajikan para pemain wanita.

14. PFAM juga menggesa agar suatu kerangka undang-undang yang lebih jelas dan konkrit dapat diperkasakan bagi membolehkan sebarang penganjuran perlawanan yang membabitkan pemain wanita dapat memberikan jaminan perlindungan terhadap hak dan kebajikan para pemain.

15. Keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya dan PFAM merasakan dalam keadaan sebegini, para pemain futsal wanita pasukan Kuala Lumpur tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya. Mereka sewajarnya diberikan jaminan pembayaran gaji dan juga pelindungan kebajikan. Sekiranya perkara ini tidak dipandang serius, maka nilai keadilan tidak akan wujud maknanya.

16. PFAM sekali lagi menggesa agar pihak FAM dan pihak pengurusan Kuala Lumpur agar segera tampil memberikan penjelasan berhubung isu ini. Semoga ada keadilan buat para pemain futsal wanita di negara Malaysia!

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp