HENTIKAN BULI SIBER: SUARAKAN SOKONGAN BUKAN KEBENCIAN

 

Dalam era digital yang semakin berkembang pesat, platform media sosial memberi ruang kepada peminat sukan untuk berinteraksi dengan pemain bola sepak dan berkongsi pendapat mereka secara langsung. Namun, perkembangan ini juga telah membuka pintu kepada budaya buli siber yang semakin membimbangkan. Pemain bola sepak Malaysia dan ahli keluarga mereka sering menjadi mangsa kecaman melampau yang mencederakan emosi serta kesejahteraan mental mereka.

 

Buli siber boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk komen kasar, ugutan, serta fitnah di media sosial. Keadaan ini semakin ketara apabila pemain atau pasukan mengalami kekalahan. Sebagai contoh, pemain bola sepak kebangsaan sering menerima kritikan pedas yang bersifat peribadi apabila gagal mencapai kemenangan dalam perlawanan penting. Bukan hanya pemain, keluarga mereka turut menjadi sasaran tanpa sebab yang munasabah.

 

Isu ini menimbulkan kesan negatif terhadap mental pemain bola sepak, merendahkan keyakinan diri dan merosakkan fokus dalam perlawanan. Keluarga pemain yang tidak terbabit secara langsung dalam turut terkesan secara emosi apabila kecaman dilemparkan kepada mereka. Ada juga kes di mana pemain terpaksa menutup akaun media sosial bagi melindungi diri daripada tekanan yang tidak terkawal.

 

FIFPRO, badan antarabangsa yang mewakili pemain bola sepak profesional di seluruh dunia, melalui laporan “FIFPRO Workplace Safety Report” (2023), mendapati bahawa meningkatnya ancaman buli siber telah memberi kesan serius kepada 90% pemain yang bertanding dalam perlawanan utama. Dalam kajian tersebut, FIFPRO menekankan bahawa ancaman siber bukan sekadar komen negatif, tetapi turut melibatkan ugutan fizikal dan ancaman terhadap ahli keluarga pemain. FIFPRO komited dalam memperkenalkan langkah-langkah melindungi pemain, termasuk teknologi pemantauan dan laporan penyalahgunaan siber secara real-time bagi menangani isu ini dengan lebih efektif.

 

Peminat bola sepak perlu memahami bahawa pemain juga manusia biasa yang berhak dihormati. Sokongan positif dan kritikan membina adalah lebih bermanfaat berbanding penghinaan atau ugutan. Dengan usaha bersama, buli siber terhadap pemain bola sepak dan keluarga mereka dapat dikurangkan, sekaligus membentuk persekitaran sukan yang lebih sihat dan harmoni di Malaysia.

 

PFA Malaysia menyeru semua penyokong bola sepak agar menjaga tutur kata, sama ada di stadium atau di media sosial. Kritiklah dengan adab dan hormat, jangan libatkan keluarga atau mendoakan keburukan. Ingat, pemain juga manusia yang punya perasaan.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp