PFAM RAIKAN RAMADAN BERSAMA ANAK-ANAK ASDAF DALAM MAJLIS BERBUKA PUASA 2025

 

Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) terus komited dalam menjalankan tanggungjawab sosial dengan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama penghuni Asrama Darul Falah (ASDAF), Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur. Program yang berlangsung pada 12 Mac 2025 ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Taja Mereka dengan kerjasama Kindness Malaysia dan sudah memasuki tahun kesembilan penganjurannya.

Inisiatif ini bertujuan menyantuni anak-anak yatim, fakir miskin, dan saudara baru (muallaf) dari perkampungan Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia, di samping memberikan bantuan dan sokongan kepada mereka yang memerlukan, terutama dalam bulan yang penuh rahmat ini.

Majlis berbuka puasa ini bukan sekadar satu jamuan, tetapi simbol keprihatinan PFAM dalam memastikan pemain bola sepak profesional sentiasa dekat dengan masyarakat. Dengan sokongan daripada rakan penaja seperti Tetuan Arif & Iskandar, Damascus.my, Kunafa Fingers, dan Aura EZ, PFAM berjaya melaksanakan misi berkongsi rezeki dengan anak-anak ASDAF.

Hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Presiden PFAM, Encik Razman Roslan, dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Encik Izham Ismail. Dalam ucapannya, Izham menzahirkan rasa syukur atas peluang untuk terus menjalankan program CSR ini buat kali ketiga sejak tahun 2016 di ASDAF.

“Hubungan yang terbina melalui program seperti ini akan memastikan kami sentiasa komited dalam membantu masyarakat serta mendalami erti Ramadan yang sebenar. Saya berharap agar hubungan baik antara pemain bola sepak profesional dan golongan yang memerlukan ini dapat diteruskan pada masa hadapan” ujar Izham.

Suasana majlis berbuka puasa pada petang itu dipenuhi dengan keceriaan dan kehangatan ukhuwah. Kehadiran lebih 60 orang tetamu, termasuk staff dan sukarelawan, menjadikan majlis ini lebih bermakna. Juadah berbuka puasa yang enak dan beraneka mendapat tajaan daripada rakan penaja, membolehkan anak-anak ASDAF menikmati hidangan istimewa.

Selain berbuka puasa bersama, anak-anak ASDAF turut menerima sumbangan duit raya serta manisan sebagai tanda kasih sayang dan sokongan daripada PFAM dan para penaja. Momen ini jelas terpancar di wajah mereka yang tersenyum gembira menerima perhatian dan kasih sayang daripada semua yang hadir.

PFAM ingin merakamkan penghargaan kepada Kindness Malaysia, Damascus.my, Kunafa Fingers, Tetuan Arif & Iskandar, dan Aura EZ yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Kejayaan penganjuran untuk tahun ketiga berturut-turut di ASDAF membuktikan komitmen PFAM dalam meneruskan kesinambungan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Program Taja Mereka bukan sekadar sebuah acara tahunan, tetapi melambangkan kebersamaan antara pemain bola sepak profesional dan masyarakat. Ia juga menunjukkan bahawa bola sepak bukan hanya tentang kejayaan di padang, tetapi turut menjadi medium untuk menyebarkan kebaikan dan membina hubungan yang lebih erat dalam komuniti.

Dengan semangat Ramadan yang terus menyatukan, PFAM bertekad untuk terus memainkan peranan dalam membantu mereka yang memerlukan, kerana di sebalik setiap kejayaan seorang atlet, ada tanggungjawab sosial yang harus dikongsi bersama. Semoga program seperti ini dapat diteruskan dan memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk turut sama menyemarakkan budaya memberi dan berkongsi dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp