Ramadan merupakan bulan suci yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah waktu untuk meningkatkan ibadah, melakukan refleksi diri, serta mempererat hubungan dengan keluarga dan komuniti. Namun, bagi mereka yang berada jauh di perantauan, menjalani Ramadan tanpa kehangatan keluarga dan suasana kampung halaman boleh menjadi satu cabaran besar.
Bagi Nurul Azurin Mazlan, penjaga gol utama skuad bola sepak wanita kebangsaan Malaysia yang kini mewakili KFF Vllaznia di Albania, Ramadan kali ini memberi pengalaman yang cukup berbeza. Selepas pernah beraksi bersama Misaka United FC di India dan ShF Presingu di Kosovo, Azurin kini meneruskan langkahnya dalam arena bola sepak Eropah. Keberaniannya merantau bukan sahaja membanggakan Malaysia, tetapi juga membuktikan keupayaan pemain bola sepak wanita negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
CABARAN BERPUASA DI NEGARA ASING
Menjalani Ramadan di luar negara bukanlah perkara mudah. Perbezaan budaya, bahasa, serta suasana yang berbeza daripada Malaysia menuntut adaptasi mental dan fizikal yang tinggi.
Salah satu cabaran utama ialah mencari makanan halal. Walaupun Albania mempunyai komuniti Muslim yang besar, Azurin tetap perlu berhati-hati ketika memilih makanan.
“Mencari makanan halal di sini tidaklah sukar, tetapi tetap perlu teliti. Setiap kali makan di luar, saya akan bertanya dan meneliti menu dahulu untuk memastikan kehalalan hidangan,” katanya.
Bagi memudahkan urusan, Azurin lebih gemar berbuka dan bersahur di restoran kelabnya berbanding memasak sendiri. Baginya, selagi ada nasi, semuanya sudah mencukupi! “Asal ada nasi, semua okay,” ujarnya berseloroh.
Menariknya, Azurin bukan satu-satunya pemain dalam pasukannya yang menjalani ibadah puasa. Beberapa rakan sepasukan dari Kosovo dan Perancis turut berpuasa, menjadikan suasana lebih mudah kerana mereka saling menghormati dan memahami keperluan masing-masing.
MENCARI SUASANA RAMADAN DI ALBANIA
Walaupun tidak menyertai mana-mana komuniti Muslim secara rasmi, Azurin tetap berusaha merasakan kemeriahan Ramadan. Salah satu caranya ialah menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran rumahnya, yang hanya mengambil masa kurang dari 10 minit berjalan kaki.
“Di sini, saya dapat melihat sendiri bagaimana Muslim di Albania menyambut Ramadan. Walaupun jauh dari Malaysia, suasana di masjid memberi sedikit ketenangan dan mengingatkan saya kepada kampung halaman,” katanya.
RINDU KELUARGA & TRADISI RAMADAN DI MALAYSIA
Berada jauh dari tanah air menjadikan komunikasi dengan keluarga sebagai aspek yang sangat penting buat Azurin. Panggilan video dan perkongsian gambar menjadi rutin hariannya untuk mengemas kini keadaan diri serta perkembangan perlawanan di Albania. Namun, perbezaan waktu menjadi cabaran utama dalam mengekalkan hubungan dengan keluarga.
“Kami biasanya hanya dapat berhubung selepas makan malam waktu Malaysia. Bila bulan puasa, video call lebih banyak dilakukan selepas solat tarawih,” jelasnya.
Seperti mana-mana rakyat Malaysia di luar negara, Azurin juga merindui suasana Ramadan di tanah air, terutama hidangan dari bazar Ramadan. “Kalau nak senaraikan memang tak habis! Tapi paling rindu mungkin bakso dan masak lomak,” katanya sambil ketawa.
MENJAGA KESIHATAN MENTAL & FIZIKAL DI BULAN RAMADAN
Sebagai seorang atlet profesional, menjaga kesihatan mental dan fizikal adalah perkara yang sangat penting bagi Azurin untuk kekal bertenaga sepanjang Ramadan.
Dari segi mental, dia banyak melakukan aktiviti yang dapat membantu mengalihkan perhatian daripada perkara negatif, seperti berada dalam kalangan individu yang positif serta mendengar podcast berfaedah.
Dari segi fizikal, Azurin memberi perhatian kepada pemakanan yang seimbang, waktu tidur yang mencukupi, serta latihan di gimnasium bagi mengekalkan kekuatan tubuhnya.
Namun, cabaran terbesar tetaplah berjauhan dari keluarga.
“Sudah tentu ini adalah cabaran. Jauh dari family, jauh dari comfort zone kita. Bukan mudah untuk beradaptasi dengan budaya yang baru. Tapi inilah yang membuatkan kita lebih matang,” katanya.
MENYAMBUT AIDILFITRI DI PERANTAUAN
Selepas sebulan menjalani ibadah puasa di Albania, Syawal bakal menjelang dan Azurin akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan. Ia pastinya momen yang penuh emosi kerana ini bukan kali pertama dia meraikan Syawal jauh dari keluarga.
“Tahun ini saya akan sambut Aidilfitri di sini, jauh dari keluarga. Memang rindu suasana pagi raya, solat sunat Aidilfitri di masjid, dan berkumpul bersama keluarga. Tapi saya bersyukur kerana pengalaman ini mengajar saya untuk lebih berdikari dan menghargai setiap momen yang ada,” katanya.
Azurin turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama keluarga, rakan-rakan, dan semua yang sentiasa menyokong saya dalam perjalanan bola sepak ini. Semoga kita semua diberikan keberkatan dan kebahagiaan di hari yang mulia ini. Walaupun jauh di perantauan, hati saya tetap bersama Malaysia.”
Dengan semangat dan dedikasi yang tinggi, Azurin bukan sahaja mengharumkan nama negara dalam arena bola sepak, tetapi juga menunjukkan ketabahan dalam mengekalkan identiti dan keimanan di perantauan. Ramadan dan Aidilfitri mungkin berbeza di Albania, tetapi bagi Azurin, pengalaman ini pastinya akan menjadi kenangan berharga yang sukar dilupakan.