Dari sorakan stadium ke suara riuh pelajar di bilik darjah oleh Ahmad Azriddin Rosli

 

 

Nama Azriddin Rosli mungkin tidak asing lagi bagi peminat bola sepak tanah air. Pemain tengah ini pernah menyarung jersi beberapa pasukan ternama seperti Felda United, PJ Rangers, Kelantan United, UiTM FC, Kuching City, dan PIB. Kehebatan dan disiplin yang ditonjolkan oleh pemain tengah ini di padang membuktikan kematangan beliau sebagai seorang atlet profesional.

 

Namun, perjalanan hidup Azriddin tidak terhenti di situ. Berbekalkan minat yang mendalam terhadap pendidikan, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan memperoleh Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Sukan dan Rekreasi) diikuti dengan Sarjana Pengurusan Sukan. Pilihan ini membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila beliau kini bertugas sebagai seorang pendidik di SMK Bukit Jelutong, Shah Alam yang kini mengajar pelajar dalam subjek Sejarah dan Pendidikan Jasmani & Kesihatan (PJK).

 

Tahun 2025 mencatatkan detik bersejarah buat Azriddin apabila beliau menyambut Hari Guru pertama sebagai seorang pendidik. Jika dahulu sorakan penonton di stadium menyemarakkan semangatnya, kini senyuman dan pencapaian pelajarnya menjadi pembakar semangat setiap hari.

 

Bagi Azriddin, semangat juang yang sama di padang kini diterapkan dalam mendidik anak bangsa, memastikan setiap daripada mereka memahami ilmu dan disiplin dengan baik.

 

“Ia satu pengalaman yang sungguh berharga. Kalau dulu saya bangga melihat jaringan gol di padang, hari ini saya bangga melihat pelajar memahami sesuatu yang saya ajarkan. Perasaan itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.” 

 

Tambahan juga, “cabaran terbesar dalam transisi dari pemain bola sepak profesional kepada seorang guru ialah dari segi pendekatan. Di padang, fokus utama adalah fizikal dan taktikal, manakala di bilik darjah, ia lebih kepada intelektual dan emosi. Namun, disiplin dan kerjasama tetap menjadi tunjang kepada kedua-dua bidang ini.”

 

Meskipun bergelar seorang guru, Azriddin tidak pernah melupakan kecintaannya terhadap bola sepak. Beliau kini bertindak sebagai jurulatih bola sepak sekolah, menurunkan segala ilmu dan pengalaman yang dimilikinya kepada generasi muda.

 

“Melatih pelajar di padang mengingatkan saya kepada zaman bermain dahulu,” katanya dengan senyuman. 

 

Lebih istimewa, Azriddin turut menyertai dan berjaya melengkapkan Kursus Kejurulatihan Bolasepak Lesen C anjuran PFA Malaysia dengan kerjasama Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia. Dengan lesen tersebut, beliau dapat melatih pasukan sekolah secara lebih profesional dan berstruktur. Setiap sesi latihan dirancang rapi, meliputi aspek teknikal, taktikal, dan mental.

 

Ujarnya, Lesen kejurulatihan Bola Sepak C membuka peluang untuk saya memahami teknik dan metodologi latihan yang lebih berstruktur. Ia membantu saya merancang sesi latihan dengan lebih baik dan memastikan pelajar mendapat latihan berkualiti mengikut standard yang ditetapkan.”

 

Sebagai jurulatih bola sepak sekolah, Saya selalu tekankan kepada mereka bahawa bola sepak bukan sekadar permainan, tetapi satu pendidikan disiplin dan kerjasama. Kalau mereka boleh belajar untuk menghormati masa, patuh kepada arahan, dan bekerja sebagai satu pasukan, mereka bukan sahaja berjaya di padang tetapi juga dalam hidup.

 

Perjalanan Azriddin Rosli daripada seorang pemain bola sepak profesional kepada seorang guru sekolah membuktikan bahawa ilmu dan pengalaman tidak pernah terbatas kepada satu arena sahaja. Dari sorakan stadium ke suara riuh pelajar di bilik darjah, beliau terus menginspirasi dan mendidik dengan penuh dedikasi.

 

Di sebalik setiap pengajaran, ada kisah perjuangan. Di sebalik setiap teguran, ada nilai disiplin yang pernah diukir di padang bola sepak. Azriddin Rosli tidak hanya mengajar, tetapi beliau mencipta legasi baharu melahirkan generasi pelajar yang bukan sekadar berilmu, tetapi berdisiplin dan berjiwa besar.

 

Selamat Hari Guru Cikgu Azriddin

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp