Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan sukan bola sepak wanita menerusi penganjuran PFAM Goalgetters 2025, sebuah program klinik bola sepak khas untuk bakat-bakat muda wanita. Program ini dijalankan dengan kerjasama rapat Mota Academy, sebuah akademi pembangunan bakat sukan yang aktif dalam membentuk pemain dari peringkat akar umbi.
Bertempat di AG Arena, Mardi Serdang, klinik ini menghimpunkan seramai 30 peserta wanita berusia bawah 10, bawah 14 dan bawah 16 tahun yang datang dari pelbagai latar belakang. Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada asas teknikal bola sepak yang betul, tetapi juga menerapkan nilai kerja berpasukan, disiplin, serta semangat kesukanan yang tinggi.
Menariknya, program kali ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa pemain bola sepak wanita yang berpengalaman seperti Fatin Syahida, Arliana Nabila dan Ku Nuwairah. Turut hadir bersama, Timbalan Presiden PFA Malaysia En. Razman Roslan. Kehadiran mereka bukan sahaja memberi inspirasi kepada peserta, malah membuktikan bahawa perjalanan untuk menjadi pemain bola sepak wanita profesional bermula dengan langkah yang kecil tetapi penuh tekad.
Sepanjang program berlangsung, peserta diberi tunjuk ajar oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman yang bukan sahaja mahir dalam aspek teknikal, malah memahami keperluan khusus pembangunan pemain wanita. Klinik ini turut membuka ruang kepada peserta untuk menonjolkan potensi masing-masing sambil membina keyakinan diri di atas padang.
PFAM percaya bahawa pembangunan bola sepak wanita harus dimulakan dari peringkat usia muda, dan program seperti PFAM Goalgetters ini merupakan salah satu langkah penting dalam melahirkan generasi pemain wanita yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi suatu hari nanti.
PFAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mota Academy atas kerjasama padu dan sokongan dalam menjayakan PFAM Goalgetters 2025. Tanpa komitmen dan dedikasi pihak Mota dalam membimbing serta melatih peserta serta menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak AG Arena atas tajaan lokasi venue, serta kepada Blackbox atas sumbangan jersi rasmi untuk kesemua peserta.
Sumbangan ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pengalaman peserta, malah memperlihatkan sokongan komuniti terhadap pembangunan bola sepak wanita di Malaysia.
PFAM komited untuk terus memperluas inisiatif seperti ini ke seluruh negara demi memastikan setiap bakat muda wanita diberi peluang dan ruang untuk berkembang melalui platform yang inklusif dan berimpak tinggi.