T. Saravanan Raih Gelaran Grab Player of the Month Liga Super Malaysia 2024/2025 Mac-April

 

Pemain sayap lincah Sri Pahang FC, T. Saravanan, sekali lagi membuktikan ketajamannya di pentas Liga Super Malaysia apabila dinobatkan sebagai Grab Player of the Month bagi bulan Mac dan April musim 2024/2025.

Sesi penyampaian anugerah yang penuh bermakna itu telah diadakan di Pejabat PFA Malaysia, Kuala Lumpur, dengan kehadiran wakil daripada Grab Malaysia, PFAM, dan juga panelist. Anugerah tersebut disampaikan oleh Hayasi Bin Muhammad, Rakan Pemandu Grab , yang melambangkan sokongan Grab terhadap pembangunan bola sepak tempatan. Sebagai penghargaan, T. Saravanan menerima sebuah trofi eksklusif serta wang tunai RM3,000 hasil tajaan Grab Malaysia.

Ini merupakan kali kedua Saravanan meraih anugerah pemain terbaik bulanan selepas pernah memenanginya ketika bersama Kuala Lumpur City FC pada musim lalu. Pemain berusia 25 tahun itu mempamerkan aksi luar biasa sepanjang bulan Mac dan April, menyumbang gol penting dan mencipta peluang berbahaya yang membantu Sri Pahang FC.

Pemilihan beliau sebagai Grab Player of the Month Liga Super 2024/2025 adalah hasil daripada undian peminat, di mana Saravanan meraih kemenangan dengan 43.87% undian, sekaligus menewaskan beberapa nama besar lain yang turut menunjukkan prestasi cemerlang.

Dalam ucapannya, Saravanan merakamkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan serta penyokong setia Sri Pahang FC.

“Ini bukan kejayaan individu, tetapi hasil usaha seluruh pasukan. Saya akan terus bekerja keras untuk membalas kepercayaan yang diberikan,” katanya.

Kejayaan ini tidak datang sekelip mata. Ia adalah hasil usaha keras, disiplin, dan semangat juang yang tinggi di atas padang. Semoga T. Saravanan terus bersinar dan mempamerkan aksi lebih mantap dalam perlawanan akan datang!

PFAM dan Malaysian Football League juga merakamkan penghargaan kepada Grab Malaysia atas inisiatif berterusan dalam menyokong pembangunan bola sepak tempatan. Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan di masa hadapan.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp