
Pada 17 hingga 19 November 2026, Perhimpunan Agung FIFPRO 2026 telah berlangsung di Panama dengan menghimpunkan wakil kesatuan pemain bola sepak anggota FIFPRO dari seluruh dunia.
Dianjurkan dengan kerjasama kesatuan pemain bola sepak Panama, Asociación de Futbolistas Profesionales de Panamá (AFUTPA), perhimpunan ini turut menandakan kepulangan FIFPRO ke rantau Amerika Tengah dan Utara buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun.

En. Izham Ismail (Ketua Pegawai Eksekutif) Dan En. Razman Roslan (Presiden)
PFA Malaysia (PFAM) turut menjadi sebahagian daripada perhimpunan antarabangsa ini menerusi kehadiran delegasi yang diketuai oleh Presiden, En. Razman Roslan bersama Ketua Pegawai Eksekutif, En. Izham Ismail. Kehadiran ini mencerminkan komitmen berterusan PFAM dalam memperkukuh hubungan dengan kesatuan pemain antarabangsa serta membawa suara pemain Malaysia ke peringkat global.
Perhimpunan ini menjadi ruang penting untuk kesatuan pemain bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan membincangkan cabaran yang dihadapi pemain bola sepak profesional di negara masing-masing. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hak, kebajikan dan kesejahteraan pemain melalui kerjasama yang lebih erat antara kesatuan di seluruh dunia.
Antara agenda utama yang diberi perhatian ialah pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) antara FIFPRO dan FIFA yang ditandatangani pada Jun lalu. Perjanjian bersejarah ini membuka laluan kepada rundingan rasmi mengenai keadaan pekerjaan pemain, termasuk peraturan perpindahan, tempoh rehat dan pemulihan serta kebajikan pemain menerusi penubuhan Global Social Dialogue Platform.
Presiden FIFPRO, Sergio Marchi, menegaskan bahawa kejayaan perjanjian ini tidak seharusnya terhenti pada peringkat persetujuan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada perubahan dan manfaat sebenar yang dapat dirasai oleh pemain melalui pelaksanaan serta pemantauan berterusan.
Perhimpunan turut memberi peluang kepada kesatuan pemain dari pelbagai negara untuk berkongsi inisiatif dan pencapaian masing-masing. Antaranya termasuk hak perkongsian hasil daripada hak imej pemain di Uruguay, program pendidikan pemain di England dan Argentina serta perkembangan komunikasi digital pemain di New Zealand.
Dalam usaha memperluas penglibatan wanita dalam kepimpinan bola sepak, bekas pemain Iceland, Sif Atladottir dan Gotcha Michel, Setiausaha Agung Asosiasi Pesepakbola Profesional Indonesia (APPI), turut dilantik sebagai pemerhati dalam Lembaga Global FIFPRO.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan FIFPRO untuk membuka lebih banyak ruang kepada wanita dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan organisasi.
Selain itu, perhimpunan kali ini turut menyaksikan PFA Northern Ireland dan PFA Lithuania diterima secara rasmi sebagai anggota FIFPRO. Penyertaan PFA Lithuania turut mencatat sejarah apabila menjadi kesatuan pemain pertama dari rantau Baltik menyertai organisasi tersebut.
Dalam aspek pengiktirafan terhadap usaha menjaga kebajikan pemain, Malta Football Players Association (MFPA) telah menerima Anugerah FIFPRO Union Impact 2026. Pengiktirafan ini diberikan atas usaha kesatuan tersebut memperkasakan kesihatan dan kesejahteraan pemain menerusi program pemeriksaan serta sokongan kesihatan yang lebih menyeluruh.
Bagi PFA Malaysia, penyertaan dalam Perhimpunan Agung FIFPRO 2026 bukan sekadar peluang untuk mengikuti perkembangan gerakan kesatuan pemain di peringkat antarabangsa, tetapi juga ruang untuk terus belajar, membina hubungan dan membawa pulang perkongsian yang boleh memberi manfaat kepada pemain bola sepak profesional di Malaysia.
#PFAMalaysia
#SupportingThePlayers
#BuildingTheGame



