Kenyataan Media Persetujuan Tunku Ismail Selaku Penaung PFAM

Dengan penuh rasa bangga, Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) ingin mengumumkan berkenaan persetujuan DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) untuk menjadi Penaung kepada PFAM. Sesungguhnya, kesudian TMJ untuk menjadi Penaung kepada PFAM adalah merupakan satu penghormatan terbesar kepada PFAM dalam usaha memperjuang integriti profesionalisme bolasepak tempatan.

Pemilihan TMJ selaku Penaung adalah disebabkan oleh nilai yang diterjemahkan sendiri oleh TMJ yang begitu profesional dalam membantu pembangunan bolasepak negara. Malah, TMJ juga sangat arif dalam selok-belok pengurusan bolasepak dan sememangnya ia akan membantu PFAM dalam merangka pelbagai usaha untuk membela hak dan kebajikan para pemain.

Dalam pertemuan bersama antara Hairuddin Omar selaku Presiden PFAM, Rezal Zambry (Timbalan Presiden), Izham Ismail (Ketua Pegawai Eksekutif) dengan TMJ sendiri, banyak perkara yang telah dibincangkan dan secara positifnya, PFAM dan TMJ ternyata berkongsi aspirasi dan impian yang sama untuk melihat kualiti profesionalisme bolasepak Malaysia berada pada tahap yang tertinggi. Suka juga untuk dijelaskan di sini, biarpun TMJ bersetuju menjadi Penaung, malah diperakui sendiri oleh TMJ, PFAM masih merupakan persatuan yang bebas dan mengangkat perjuangan pemain. Jaminannya, selagi mana masih ada bulan dan bintang, PFAM akan terus kekal menjadi milik pemain.

Akhir sekali, PFAM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada TMJ atas kesudian Tunku menjadi Penaung kepada PFAM. Diharapkan, persetujuan TMJ selaku Penaung ini dapat menarik lebih ramai lagi para pemain profesional untuk menjadi ahli PFAM dan senantiasa peka dengan perkembangan yang dibawakan oleh PFAM. Ini juga merupakan sebuah manifestasi jelas untuk memastikan karier pemain bolasepak profesional lebih dihormati sepertimana bidang profesional yang lain. Semoga perjuangan PFAM ini diberkati Allah S.W.T dan terus mendapat sokongan semua pihak.

Memetik bait-bait yang dilontarkan oleh TMJ dalam pertemuan tersebut:

“..adalah menjadi impian saya untuk melihat bolasepak Malaysia berjaya menakluki dunia, saya rela mengambil seumur hidup saya untuk itu dan hari ini saya teruja untuk mengetahui bahawa saya tidak keseorangan dalam perjuangan ini. Mulai saat ini, bolasepak Malaysia akan hidup dengan bernadikan semangat ini..”

Daulat Tuanku.

“SUPPORTING THE PLAYERS, BUILDING THE GAME”

 

Izham Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
PFA Malaysia

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp