Saya mewakili kepimpinan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia yang mewakili pemain profesional di Malaysia mengambil perhatian mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak kepada seorang ahli kami, Rozaimie Rahim yang kini bermain untuk skuad Sabah FA di saingan Liga Perdana.
Kami di PFA Malaysia ingin meluahkan rasa kecewa atas tindakan sesetengah pihak yang melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik dan reputasi pemain tersebut, sehingga mengakibatkan emosi beliau dan ahli keluarga terganggu.
Setiap pemain tidak lari dari melakukan kesilapan di atas padang dan kami merasakan semua pihak perlu berlaku adil dan jangan melemparkan tuduhan tanpa asas yang boleh mengakibatkan kerjaya pemain dan reputasi pemain terganggu.
Sekiranya mana-mana pihak merasakan pemain tersebut bersalah, kami sarankan agar perkara ini dibawa melalui proses serta saluran yang betul dan membuat laporan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia untuk siasatan dibuat. Adalah tidak adil untuk menghukum sesuatu tanpa siasatan menyeluruh dan keputusan yang dibuat oleh pihak berwajib.
Kami memohon kepada semua pihak untuk meneruskan sokongan kepada pemain tersebut dan semoga bolasepak Malaysia terhindar dari segala gejala yang negatif yang boleh merosakkan arena bolasepak kita.
Rezal Zambery Yahya
Timbalan Presiden PFA Malaysia