Pemain pasukan Johor Darul Ta’zim, Feroz Baharudin dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi edisi Julai 2023.
Anugerah itu disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Optastar Protein Sdn. Bhd, Aidi Abdullah dalam satu majlis ringkas sebelum perlawanan Suku Akhir Pertama Piala Malaysia antara Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.
Feroz menerima peratusan undian tertinggi sebanyak 40.48% mengalahkan empat calon lain iaitu Ifedayo Olusegun (Kedah Darul Aman FC – 33.34%), Ramon Machado de Macedo (Sabah FC – 20.57%), Azrif Nasruhaq (Sri Pahang FC – 3.14%) dan Romel Morales (Kuala Lumpur City FC – 2.47%)
Beliau menerima hadiah plak, wang tunai bernilai RM2,000 dan produk minuman protein tajaan OPI
Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM ini dikelolakan oleh Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM). Hal ini merupakan satu pengiktirafan kepada pemain-pemain bola sepak profesional daripada PFAM.
Sesi pemilihan dibuat melalui panel pemilih yang terdiri daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek lima calon setiap bulan dan undian akan dibuka selama seminggu kepada seluruh peminat bola sepak di Malaysia.
Para pengundi boleh membuat undian melalui desktop, laptop, telefon pintar, atau tablet dan boleh menggunakan semua jenis pelayar (browser) melalui laman web rasmi PFAM iaitu www.pfam.my.
Semoga anugerah ini dapat menjadi pendorong kepada pemain untuk lebih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi mereka.