
Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sekali lagi berjaya menganjurkan PFAM Offseason Camp 2026, yang berlangsung selama empat hari bermula 22 hingga 25 Jun 2026 di JSA Arena, Setia Alam, dari 9.30 malam hingga 11.00 malam.
Memasuki edisi ketiga penganjurannya, PFAM Offseason Camp 2026 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform persediaan luar musim buat pemain bola sepak profesional.
Program tahun ini menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 30 pemain daripada Liga Super, Liga A1 Semi-Pro serta beberapa pemain muda yang mengambil peluang untuk meningkatkan tahap kecergasan dan prestasi menjelang musim baharu.
Sepanjang empat hari program berlangsung, para peserta menjalani latihan yang memberi penekanan kepada aspek teknikal, taktikal dan kecergasan fizikal. Di bawah kendalian barisan jurulatih berpengalaman, setiap sesi dirancang bagi membantu pemain kembali berada pada tahap terbaik sebelum memulakan saingan liga.
Kelainan utama pada edisi tahun ini ialah pengenalan Gym Session bersama RIVAL KL, selaku Rakan Rasmi Strength & Conditioning PFAM Offseason Camp 2026. Sesi yang berlangsung di Wisma Bentley, Mutiara Damansara itu memberi pendedahan kepada pemain mengenai kepentingan latihan kekuatan, kuasa, mobiliti dan pencegahan kecederaan sebagai sebahagian daripada persediaan seorang pemain profesional.
Penambahan modul ini melengkapkan pendekatan latihan PFAM Offseason Camp yang bukan sahaja memfokuskan latihan di atas padang, malah turut memberi penekanan terhadap pembangunan fizikal secara menyeluruh.
Bagi memastikan setiap peserta mendapat pengalaman latihan yang berkualiti, Ortuseight Malaysia tampil sebagai Penaja Rasmi Kit Latihan pemain & Peralatan, manakala Kelme Malaysia menyokong program sebagai Penaja Kit Jurulatih. Sokongan daripada rakan strategik ini membuktikan komitmen bersama dalam memperkasakan pembangunan bola sepak profesional di Malaysia.
Sebagai pengiktirafan kepada pemain yang mempamerkan prestasi terbaik sepanjang kem, PFAM turut memperkenalkan anugerah Ortuseight Malaysia Best Player of the Camp dengan kerjasama Ortuseight Malaysia. Bagi edisi 2026, anugerah tersebut diberikan kepada Kenny Palraj selepas dipilih oleh barisan staf kejurulatihan berdasarkan tiga kriteria utama iaitu komitmen, prestasi dan kepimpinan yang dipamerkan sepanjang empat hari program berlangsung.
Anugerah ini diwujudkan sebagai penghargaan kepada pemain yang bukan sahaja menyerlah dari segi kemampuan di atas padang, malah menjadi contoh kepada rakan-rakan lain melalui disiplin, sikap profesional dan semangat berpasukan.
PFAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemain yang telah memberikan komitmen sepanjang program, serta kepada semua rakan penaja, jurulatih dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan PFAM Offseason Camp 2026.
Dengan sambutan yang semakin memberangsangkan dari tahun ke tahun, PFAM berharap Offseason Camp akan terus menjadi platform utama buat pemain profesional untuk mengekalkan tahap kesiapsiagaan, meningkatkan prestasi serta mempersiapkan diri dengan lebih baik sebelum sepak mula musim baharu.
PFAM bersama FIFPRO kekal komited untuk terus memperkasakan inisiatif seperti ini demi menyokong pembangunan pemain dan memperkukuh ekosistem bola sepak profesional di Malaysia.
Gambar penuh di : https://www.facebook.com/share/p/1DBiWJbJ2F/


