
Persatuan Pemain Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) meneruskan inisiatif PFAM Tour 2026/27 menerusi kunjungan hormat ke Kelana United yang kini beraksi dalam saingan Liga Wanita Nasional 2026 sekali gus mencipta sejarah apabila buat julung kalinya PFA Malaysia mengadakan kunjungan rasmi ke sebuah kelab bola sepak wanita.
Kunjungan tersebut turut dihadiri oleh Presiden PFA Malaysia, En. Razman Roslan, dan Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, En. Izham Ismail, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan persatuan untuk mendekati pemain serta memperkukuh hubungan dengan komuniti bola sepak di Malaysia.
Dalam kunjungan ini, PFA Malaysia berkesempatan bertemu dengan para pemain Kelana United bagi memperkenalkan peranan serta fungsi persatuan, di samping membuka ruang kepada pemain untuk mendapatkan maklumat berkaitan hak dan kebajikan mereka sebagai pemain bola sepak profesional.
Antara perkara yang turut dibincangkan adalah berkaitan keahlian PFA Malaysia, termasuk proses pendaftaran baharu dan pembaharuan keahlian. Sesi ini memberi peluang kepada para pemain untuk memahami manfaat menjadi ahli serta bagaimana PFA Malaysia boleh menjadi platform sokongan dalam memperjuangkan hak pemain.
Selain itu, PFA Malaysia turut berkongsi penerangan mengenai hak pemain merangkumi aspek kontrak, kebajikan, perlindungan serta kepentingan pemain mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai hak mereka sepanjang karier bola sepak.
Sebagai sebahagian daripada kunjungan tersebut, pemain-pemain Kelana United turut mengambil peluang untuk menyertai proses pengundian FIFPRO World 11 (Women’s), sebuah inisiatif global yang memberi ruang kepada pemain bola sepak profesional wanita untuk memilih barisan pemain terbaik dunia berdasarkan prestasi mereka.
Penglibatan pemain Kelana United dalam proses pengundian ini turut mencerminkan komitmen PFA Malaysia dalam menggalakkan lebih ramai pemain wanita Malaysia terlibat secara aktif dalam komuniti pemain bola sepak profesional di peringkat antarabangsa.
PFA Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Kelana United atas sambutan serta kerjasama yang diberikan sepanjang kunjungan ini. Sokongan dan keterbukaan pihak kelab amat dihargai dalam menjayakan inisiatif ini, khususnya dalam usaha memperkukuh kesedaran mengenai hak dan kebajikan pemain bola sepak wanita.
PFA Malaysia percaya bahawa usaha mendekati kelab-kelab wanita secara lebih konsisten merupakan langkah penting dalam memperkukuh suara pemain wanita serta memastikan isu berkaitan hak, kebajikan dan pembangunan kerjaya mereka terus diberikan perhatian.
#PFAMalaysia
#SupportingThePlayers
#BuildingTheGame





