PFAM GOAL GETTERS FOOTBALL CLINIC BUKA TIRAI PFAM WOMEN’S FOOTBALL WEEK 2026

 

Pada 1 Ogos 2026, program Goal Getters Football Clinic secara rasminya membuka tirai PFAM Women’s Football Week 2026 dengan sambutan yang amat menggalakkan apabila menghimpunkan lebih 35 peserta dalam kategori Bawah 12 Tahun (U-12) dan Bawah 15 Tahun (U-15) yang bertempat di Padang Bola Sepak Ha Megah UNITEN, Bangi.

Klinik bola sepak ini bertujuan memperkasakan pembangunan bola sepak wanita di peringkat akar umbi menerusi sesi latihan yang menyeronokkan, interaktif serta memberi pendedahan kepada asas teknikal dan nilai-nilai positif dalam sukan.

Program ini turut mendapat bimbingan daripada barisan jurulatih yang berpengalaman iaitu Md Norzalizan Mahamad, Nur Shazreen Munazli, Dr. Nur Dayana Nisbar dan Nur Hadi Mohamad. Kepakaran serta tunjuk ajar barisan jurulatih sepanjang sesi latihan memberi peluang kepada para peserta untuk meningkatkan kemahiran, membina keyakinan diri dan menikmati pengalaman latihan yang positif.

Turut hadir memeriahkan program ialah pemain bola sepak wanita Fatin Shahida dan Casandra Smith, yang meluangkan masa bersama para peserta serta berkongsi pengalaman dan kata-kata semangat untuk terus mengejar impian dalam bola sepak.

Lebih daripada sekadar sesi latihan, Goal Getters Football Clinic menjadi platform untuk membina keyakinan, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan pemain muda, selain membuka ruang kepada mereka untuk melihat potensi dan peluang yang tersedia dalam bola sepak wanita.

PFAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, ibu bapa, jurulatih serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program pertama PFAM Women’s Football Week 2026.

Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada rakan penaja yang sentiasa menyokong usaha pembangunan bola sepak wanita di Malaysia, iaitu Cosmoderm, Persatuan Bolasepak Selangor, Beastsportmy, Sunshine Bakeries Malaysia dan Julie’s Biscuits.

Dengan semangat “Celebrating Women, Inspiring Future Stars”, Goal Getters Football Clinic menjadi langkah pertama PFAM dalam usaha memperkasa wanita melalui bola sepak serta membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada bakat-bakat muda untuk berkembang dan mengejar impian mereka dalam sukan ini.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp