Memperkasa Komunikasi Kesatuan Pemain Menerusi FIFPRO Asia/Oceania Communication Workshop 2026

 

Peranan komunikasi dalam memperjuangkan hak, kebajikan dan suara pemain bola sepak terus berkembang seiring perubahan landskap media dan digital, sekali gus menuntut kesatuan pemain untuk mempunyai strategi komunikasi yang lebih tersusun, kreatif dan berkesan.

Sehubungan itu, Persatuan Pemain Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah menyertai FIFPRO Asia/Oceania Communication Workshop 2026 yang berlangsung selama dua hari, dari Selasa, 6 Oktober hingga Rabu, 7 Oktober 2026, bertempat di ParkRoyal Hotel, Kuala Lumpur.

Workshop ini menghimpunkan wakil komunikasi daripada kesatuan pemain di rantau Asia dan Oceania bagi berkongsi pengetahuan, pengalaman serta pendekatan terbaik dalam memperkukuh komunikasi organisasi, membina hubungan media dan menyampaikan cerita pemain kepada masyarakat.

Turut hadir ialah Pengarah Komunikasi Global FIFPRO, Alejandro Varsky, Setiausaha Agung FIFPRO Asia/Oceania, Shoko Tsuji serta Terry Ouko, Ahli Lembaga FIFPRO Africa.

Sesi workshop dikendalikan oleh Julius Ross, Ketua Unit Komunikasi Professional Footballers Australia (PFA Australia), dan Nicholas D’Urbano, Penerbit Media Digital dan Kandungan PFA Australia, yang berkongsi kepakaran serta pengalaman dalam bidang komunikasi, media dan penghasilan kandungan digital.

Program ini turut menghimpunkan wakil kesatuan pemain dari rantau Asia dan Oceania, termasuk Japan Professional Footballers Association (JPFA) dari Jepun, Asosiasi Pesepakbola Profesional Indonesia (APPI) dari Indonesia, Uzbekistan Footballers Union (UFU) dari Uzbekistan, Korea Professional Footballers Association (KPFA) dari Korea Selatan, Football Players Association of India (FPAI) dari India dan New Zealand Professional Footballers Association (NZPFA) dari New Zealand.

PFAM diwakili oleh En. Afiq Eizzuddin Ahmad Shaupi Eksekutif Komunikasi, Cik Alisa Farhana Zukari, Eksekutif Pengurusan Acara dan Keahlian serta Cik Hanani Azren, Eksekutif Pentadbiran.

 

Memperkukuh Perancangan dan Strategi Komunikasi

Antara fokus utama workshop ialah kepentingan membangunkan pelan komunikasi yang jelas dan strategik, merangkumi penetapan objektif, pengenalpastian kumpulan sasaran, pembentukan mesej serta pemilihan pendekatan yang bersesuaian.

Aspek pengurusan pihak berkepentingan (stakeholder management) turut diberi perhatian bagi memastikan komunikasi organisasi dilaksanakan secara lebih terancang, konsisten dan berimpak.

Dalam konteks kesatuan pemain, perancangan komunikasi yang berkesan penting untuk memastikan isu berkaitan hak, kebajikan dan kepentingan pemain dapat disampaikan dengan tepat kepada pihak berkepentingan serta masyarakat umum.

 

Membina Hubungan Media dan Mengangkat Isu Pemain

Sesi berkaitan hubungan media mengetengahkan kepentingan memahami keperluan wartawan, membina hubungan media yang produktif dan berterusan serta mengenal pasti cara untuk menterjemahkan isu pemain kepada cerita yang mempunyai nilai berita.

Perbincangan turut menyentuh cabaran mengurus landskap media moden yang semakin pantas dan kompetitif, termasuk keperluan untuk kesatuan pemain menyesuaikan pendekatan komunikasi bagi memastikan isu serta suara pemain terus mendapat perhatian.

Hubungan dengan pengamal media bukan sekadar penting ketika organisasi memerlukan liputan, malah perlu dipupuk melalui interaksi dan kerjasama berterusan.

 

Penceritaan Pemain sebagai Medium Membina Kefahaman

Pendekatan human-centred storytelling turut menjadi antara intipati penting workshop, dengan penekanan terhadap usaha mengetengahkan kisah pemain dari sudut yang lebih dekat, autentik dan bermakna.

Melalui perkongsian contoh penceritaan, teknik temu bual pemain dan trend kandungan semasa, peserta didedahkan kepada kaedah untuk menghasilkan cerita yang mampu menghubungkan pengalaman pemain dengan masyarakat.

Pendekatan ini melihat pemain bukan sekadar sebagai atlet yang beraksi di atas padang, tetapi sebagai individu yang mempunyai aspirasi, cabaran, pengalaman dan kisah kehidupan tersendiri.

Bagi kesatuan pemain, penceritaan sebegini membuka ruang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap realiti kehidupan pemain serta isu yang mempengaruhi kerjaya dan kebajikan mereka.

 

Memanfaatkan Teknologi dan Platform Digital

Workshop turut memberi tumpuan kepada strategi media sosial dan pembangunan kandungan digital, termasuk pemahaman terhadap karakter setiap platform, tingkah laku audiens serta trend kandungan semasa.

Peserta turut didedahkan kepada kepentingan membangunkan kalendar kandungan, menyusun aliran kerja dan merancang kandungan mengikut kesesuaian platform bagi memastikan komunikasi dapat dilaksanakan secara lebih sistematik.

Selain itu, perkongsian merangkumi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan, terjemahan dan penyesuaian bahasa mengikut konteks tempatan, fotografi dan penceritaan visual serta penggunaan sumber digital seperti IMAGO dan Social Media Protection Service (SMPS) oleh Areto Labs.

Pendedahan kepada pelbagai peralatan dan kaedah penghasilan kandungan berkos rendah turut memberikan perspektif tentang bagaimana kesatuan pemain boleh menghasilkan kandungan yang kreatif dan konsisten mengikut sumber serta keperluan masing-masing.

 

Kolaborasi untuk Memperkasakan Suara Pemain

Satu lagi aspek yang diketengahkan ialah kepentingan penceritaan dan kerjasama merentas bahagian dalam organisasi. Pendekatan ini membolehkan maklumat serta pengalaman daripada pelbagai unit diterjemahkan kepada kandungan komunikasi yang lebih menyeluruh dan relevan.

Secara keseluruhannya, penyertaan PFAM dalam FIFPRO Asia/Oceania Communication Workshop 2026 membuka peluang untuk memperkukuh pengetahuan serta pendekatan komunikasi organisasi, di samping mempelajari amalan terbaik yang boleh disesuaikan dengan keperluan pemain bola sepak profesional di Malaysia.

 

Dalam landskap komunikasi yang sentiasa berubah, usaha memperkasakan suara pemain memerlukan lebih daripada sekadar penyampaian maklumat. Ia menuntut strategi yang jelas, hubungan yang kukuh, penceritaan yang bermakna dan penggunaan platform yang berkesan.

Bagi PFAM, komunikasi kekal sebagai medium penting untuk menghubungkan pemain dengan masyarakat, meningkatkan kesedaran terhadap isu yang dihadapi mereka serta memastikan suara pemain terus diberi perhatian.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp