
Kursus Kejurulatihan Diploma Lesen C AFC/FAM dengan kerjasama Persatuan Pemain Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) melabuhkan tirainya menerusi majlis penutup yang diadakan di MMU, Cyberjaya selepas para peserta berjaya melengkapkan keseluruhan sesi pembelajaran dan latihan yang ditetapkan.
Seramai 22 orang peserta telah berjaya menamatkan kursus berkenaan dan kini bakal menantikan keputusan rasmi bagi menentukan kelayakan masing-masing untuk memperoleh Diploma Kejurulatihan Lesen C AFC/FAM.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil kedua-dua organisasi, iaitu Exco PFAM, En. Wan Zack Haikal dan Exco KLFA, En. Muhamad Zushaidey.
Sebagai simbolik penutup kursus, majlis turut menyaksikan sesi penyerahan modul kursus daripada Penghulu Kursus, En. Asrarudin Putra Omar kepada Exco KLFA, En. Muhamad Zushaidey. Penyerahan tersebut menandakan berakhirnya sesi kursus yang telah berlangsung serta menjadi simbolik kepada kejayaan 22 peserta melengkapkan program kejurulatihan berkenaan.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah dibimbing oleh Coach Ghani Malik selaku tenaga pengajar utama (Instructor), dengan bantuan Coach Patrick Loo sebagai Penolong Instructor.
Penganjuran kursus ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PFAM dan KLFA dalam membuka ruang pembangunan kerjaya kepada pemain bola sepak, khususnya dalam mempersiapkan mereka untuk meneroka bidang kejurulatihan.
Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasakan pembangunan bola sepak tempatan melalui peningkatan ilmu, kemahiran dan kompetensi dalam kalangan bakal jurulatih.
PFAM berharap segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat dimanfaatkan oleh para peserta serta menjadi langkah awal dalam perjalanan mereka menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara pada masa hadapan.
Tahniah kepada kesemua 22 peserta yang berjaya menamatkan kursus ini. Semoga terus maju dalam perjalanan daripada pemain kepada jurulatih!




