Kuala Lumpur, 13 Februari 2024 – Satu Sidang Media berkenaan kes sivil tuntutan gaji bagi Kuantan FA dan Marcerra United FC yang berjumlah lebih RM 6 juta telah diadakan di Firma Guaman Tetuan Zarkasya & Co, pihak peguam yang telah dilantik untuk mewakili kedua – dua kelab bolasepak tersebut. Sidang Media ini turut dihadiri oleh wakil daripada Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
PFAM menyokong baik segala usaha dalam membela hak dan memberikan perlindungan terhadap pemain termasuklah menyokong tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil yang telah difailkan oleh Tetuan Zarkasya & Co. PFAM mengekori secara rapat mengenai perkembangan kes sivil ini kerana keputusan melalui prosiding komital terhadap pemilik kedua-dua kelab bolasepak ini akan menentukan landskap perundangan bolasepak profesional di Malaysia pada masa akan datang.
Pemilik kelab Kuantan FA dan Marcerra United berdepan risiko dipenjarakan akibat tidak menghormati keputusan mahkamah untuk melunaskan jumlah tunggakan gaji seperti yang telah difailkan. Mahkamah telahpun menjatuhkan hukuman penjara tujuh (7) hari kepada pemilik kelab sekiranya beliau gagal melunaskan penyelesaian penuh tunggakan gaji pemain-pemain sebelum 9 Februari 2024 yang lepas.
Kes ini boleh menjadi satu penanda aras dalam memastikan pemilik kelab bertanggungjawab terhadap segala liabiliti terutamanya kepada pemain dan tidak bersikap lepas tangan atau melarikan diri dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji. Perlu diberi perhatian bahawa keputusan yang diberikan oleh Mahkamah bergantung kepada proses dan fakta yang terlibat sepanjang kes ini berlangsung.
PFAM sekali lagi menekankan bahawa segala usaha dalam membela dan memberikan perlindungan kepada pemain merupakan agenda utama yang akan sering diperjuangkan dan disokong. Kes ini turut memberikan peringatan yang jelas kepada semua pihak untuk tidak mengambil mudah mengenai hak pemain terutamanya dalam isu tunggakan gaji yang sering dihadapi oleh pemain.