PFA Malaysia (PFAM) ingin mengumumkan bahawa kami telah menerima berita daripada FIFPRO mengenai kelulusan bantuan dana FIFA.
Dana ini merupakan peruntukan khas di bawah FIFA Fund for Football Players (FFP) yang merupakan inisiatif bersama oleh FIFA dan FIFPRO untuk membantu pemain – pemain di seluruh dunia yang masih mempunyai tunggakan bayaran daripada kelab yang telah ditutup secara rasmi atau muflis.
Melalui PFAM, beberapa kumpulan permohonan telah diluluskan, dan untuk kelompok keempat, sejumlah 18 permohonan telah diluluskan oleh FIFA, yang mewakili pemain tempatan dan merupakan bekas pemain Terengganu City FC.
Seramai 18 pemain ini terdiri daripada individu yang sebelum ini telah membuat aduan rasmi kepada PFAM dan juga telah menerima keputusan daripada Jawatankuasa Status FAM mengenai tunggakan gaji.
Secara rasminya, jumlah keseluruhan yang diterima untuk 18 pemain ini adalah USD70,200.00 (RM294,840.00) dan tunggakan yang diterima adalah berbeza mengikut tunggakan masing – masing.
PFAM mengakui bahawa walaupun jumlah yang diterima oleh pemain mungkin tidak mencukupi sepenuhnya namun PFAM berharap melalui penerimaan dana ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang telah dipikul oleh para pemain.
PFAM juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan pihak-pihak yang berkaitan untuk meningkatkan kualiti pengurusan bola sepak di Malaysia. Pengurusan bola sepak di Malaysia perlu berusaha lebih keras untuk menangani isu ini dan memperkasa pengurusan pasukan serta penguatkuasaan undang-undang.
Ini merupakan tanggungjawab kita bersama dalam memastikan ekosistem bola sepak di Malaysia stabil dan kekal dalam jangka masa yang panjang.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada pihak pihak yang terlibat khususnya Unit Undang-Undang FAM, atas bantuan mereka dalam menyediakan senarai nama dan dokumen untuk tujuan permohonan dana ini.
Buat masa ini, PFAM sedang berkomunikasi dengan pemain-pemain yang terlibat untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi proses pembayaran yang akan dilakukan secara langsung oleh FIFA dan FIFPRO.