Kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini menjadi satu penantian buat seluruh Umat Islam untuk meningkatkan lagi amalan dan ibadah untuk mengejar ganjaran pahala yang dijanjikan olehNya.
Tidak kira tua atau yang muda, mereka menjadikan ia sebagai satu medan untuk menambahkan pahala dan ganjaran hebat yang dijanjikan Allah S.W.T. sepanjang bulan itu selain menjadi landasan terbaik mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga dan umat islam yang lain.
Menjadi satu kelaziman setiap tahun untuk bulan Ramadan, PFA Malaysia dengan kerjasama badan NGO Kindness Malaysia yang kini telah memasuki tahun keenam berkerjasama telah mengadakan dua program seperti meraikan anak-anak yatim di Rumah Titian Kaseh, Kuala Lumpur dan menyantuni warga asnaf di PPR Seri Alam, Kuala Lumpur.
PROGRAM TAJAMEREKA DI RUMAH TITIAN KASEH, KUALA LUMPUR
Pada 19 Mac 2024 yang lalu, PFA Malaysia dengan kerjasama Kindness Malaysia telah mengadakan satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Rumah Titian Kaseh, Kuala Lumpur dan dijayakan bersama dengan firma guaman Tetuan Arief Iskandar serta ESM Internationale Sdn Bhd.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini atau dikenali sebagai Projek TajaMereka kalini merupakan program berbuka puasa yang diadakan bagi meraikan penghuni Rumah Titian Kaseh yang terdiri dari golongan anak yatim, ibu tunggal serta asnaf.
Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini merupakan inisiatif PFA Malaysia bersama rakan penaja, Tetuan Arif & Iskandar dan ESM Internationale Sdn Bhd dalam berkongsi rezeki dengan penghuni Rumah Titian Kaseh di samping berbuka puasa bersama mereka.
Program Taja Mereka ini dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Encik Izham Ismail, Penjaga Gol wanita kebangsaan Nurul Azurin Mazlan dan pemain bola sepak wanita Nurul Arliana Nabila Mohamad Ramadhan serta wakil dari Tetuan Arif & Iskandar dan juga wakil dari ESM Internationale Sdn Bhd
Dengan kehadiran lebih daripada 100 orang tetamu, Program TajaMeraka pada tahun ini dianjurkan dengan meriah bersama juadah berbuka puasa, solat maghrib bersama mereka dan diakhiri dengan sumbangan wang tunai yang diberikan khas buat penghuni Rumah Titian Kaseh.
MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN PROJEK PINTU REZEKI BERSAMA PFA MALAYSIA
Selesai dengan program TajaMereka di Rumah Titian Kaseh selasa lalu, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) diteruskan lagi dengan penyampaian Projek Pintu Rezeki bersama PFA Malaysia pada 22 Mac 2024 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Kuala Lumpur.
Program ini juga mendapat kerjasama dari NGO Kindness Malaysia serta dijayakan bersama dengan penaja dari Tetuan Arif & Iskandar dan juga ESM Internationale Sdn Bhd.
Program Pintu Rezeki bersama PFA Malaysia ini merupakan satu program penyampaian pek makanan asas dan juga wang tunai kepada 10 keluarga yang telah dikenal pasti oleh persatuan penduduk PPR Seri Alam tersebut bagi meringankan beban golongan asnaf dan golongan kurang upaya untuk menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan kalini.
Turut hadir dalam program sumbangan ini, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Encik Izham Ismail dan juga bekas penjaga gol kebangsaan Encik Norazlan Razali dalam penyampaian pek makanan asas serta wang tunai ini kepada 10 keluarga di Surau Silaturahim PPR Seri Alam ini.
Program Pintu Rezeki PFA Malaysia ini berakhir dengan sesi mengadakan satu ziarah ke rumah bersama wakil penduduk PPR Seri Alam bagi menyantuni golongan asnaf yang mempunyai kekurangan upaya dengan menyampaikan pek makanan asas serta wang tunai kepada mereka.
UCAPAN RIBUAN TERIMA KASIH
PFA Malaysia juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Tetuan Arif & Iskandar dan juga ESM Internationale Sdn Bhd selaku penaja kerana sama-sama menjayakan program TajaMereka di Rumah Titian Kaseh, Kuala Lumpur dan Penyampaian sumbangan Projek Pintu Rezeki bersama PFA Malaysia.
Memasuki tahun keenam ini, PFA Malaysia juga menghargai usahasama pihak NGO Kindness Malaysia kerana sentiasa bersama kami berganding bahu untuk mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) serta membantu menceriakan lebih ramai golongan kurang berkemampuan serta kurang bernasib baik pada bulan Ramadan ini.
Hubungan yang terbina melalui program ini akan memastikan PFA Malaysia akan sentiasa komited dalam membantu masyarakat dan pada masa yang sama mendalami erti Ramadan yang sebenar serta berharap agar hubungan baik antara pemain bola sepak profesional dengan golongan yang memerlukan ini akan terus berterusan pada masa yang mendatang