
Pada 18 April 2025 yang lalu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Kindness Malaysia telah menganjurkan program “Sinari Syawal: Sumbangan Keperluan Kepada Penduduk PPR” bertempat di PPR Hiliran Ampang.
Program ini bertujuan menyantuni komuniti setempat sempena sambutan Syawal dengan memberikan sumbangan keperluan harian kepada keluarga yang memerlukan.
Acara bermula pada jam 3.00 petang dengan kehadiran sukarelawan yang membantu dalam penyediaan barangan sumbangan. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan oleh wakil daripada PPR, PFAM, YWM dan turut diserikan dengan kehadiran wakil pemain bola sepak profesional seperti Ahmad Khairil Anuar, Muhammad Aqil Asyraf, Muhammad Shahrul Aikal dan Muhammad Harith Imran yang turut hadir untuk memberikan sokongan serta menyampaikan sumbangan kepada penduduk.
Sekitar jam 4.00 petang, sesi penyerahan sumbangan pek makanan asas telah disampaikan kepada 10 keluarga terpilih dari PPR Hiliran Ampang dan disusuli dengan lawatan ke rumah beberapa penerima yang terdiri dari warga emas dan golongan kurang upaya bagi menyampaikan sumbangan secara langsung serta memahami dengan lebih dekat keadaan hidup mereka.
Inisiatif ini menjadi bukti komitmen PFAM dan YWM dalam memainkan peranan aktif membantu masyarakat, terutamanya golongan yang memerlukan, sambil menyemarakkan semangat kemasyarakatan dan keprihatinan dalam kalangan para pemain serta sukarelawan yang terlibat.
Gambar penuh : https://www.facebook.com/share/1A9CCJRM5c/


