
Bintang sensasi Kuching City, Jordan Mintah, mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Grab Player of the Month Liga Super 2024/2025 bagi edisi Februari. Sesi penyampaian anugerah itu berlangsung di Pejabat PFA Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam persaingan sengit melibatkan beberapa nama besar Liga Super, Jordan berjaya mengungguli undian dengan 53.43% sokongan peminat. Kecemerlangan yang dipamerkan dalam setiap perlawanan bukan sahaja memukau penonton di stadium, malah menambat hati peminat bola sepak di seluruh negara. Gol-gol penting yang dihasilkannya menjadi bukti ketajaman penyudah dan kemampuannya mengawal rentak permainan.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Hayasi Bin Muhammad, Rakan Pemandu Grab, sebagai simbolik sokongan kuat Grab terhadap perkembangan bola sepak tempatan. Selain trofi eksklusif, Jordan turut menerima wang tunai RM3,000 sebagai penghargaan atas usaha dan dedikasinya di atas padang.
Kejayaan Jordan Mintah bukan sahaja satu pencapaian peribadi, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda yang bercita-cita tinggi dalam sukan bola sepak. Dengan semangat juang yang tinggi dan komitmen berterusan, beliau membuktikan bahawa kerja keras dan dedikasi mampu membawa kejayaan yang gemilang.
Tahniah diucapkan kepada Jordan Mintah atas anugerah yang diraihnya! Semoga terus konsisten mempamerkan aksi memukau sepanjang saingan Liga Super musim ini.
PFAM dan Malaysian Football League juga merakamkan penghargaan kepada Grab Malaysia atas inisiatif berterusan dalam menyokong pembangunan bola sepak tempatan. Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan di masa hadapan.