PFA MALAYSIA SANTUNI 200 WARGA EMAS DI RUMAH SERI KENANGAN, CHERAS

 

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran PFA Malaysia menerusi inisiatif Program CSR Ramadan PFAM: Taja Mereka 2026 telah berlangsung dengan penuh makna pada 25 Februari 2026, bermula jam 6.30 petang hingga 9.00 malam bertempat di Rumah Seri Kenangan Cheras.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PFAM dalam menyantuni komuniti, khususnya golongan warga emas yang memerlukan perhatian dan sokongan moral sepanjang bulan Ramadan.

Seramai 200 orang penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras diraikan menerusi majlis berbuka puasa bersama, sesi ramah mesra serta penyampaian sumbangan telekung, kain pelikat dan duit raya sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang. Kehadiran para tetamu, sukarelawan dan wakil-wakil PFAM bukan sahaja membawa keceriaan kepada para penghuni, malah menghidupkan suasana Ramadan dengan elemen kebersamaan, empati dan nilai kemanusiaan.

Turut hadir, Presiden PFA Malaysia, En. Razman Roslan serta Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, En. Izham Ismail yang meluangkan masa berinteraksi dengan para penghuni, bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan secara simbolik sebagai tanda sokongan kepada inisiatif kebajikan yang dianjurkan.

Menurut Izham, penganjuran program ini bukan sekadar menyampaikan bantuan berbentuk material, malah bertujuan memberi sokongan emosi dan semangat kepada warga emas agar mereka tidak berasa terpinggir, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang sinonim dengan nilai keinsanan, kesyukuran dan kebersamaan. Program sebegini juga diharap dapat membuka ruang kepada pemain bola sepak profesional untuk lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus membentuk jati diri yang seimbang antara pencapaian di dalam dan di luar padang.

PFA Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja iaitu Tetuan Arief & Iskandar, Aura EZ dan Damascus Malaysia yang telah menghulurkan sokongan bagi menjayakan program ini. Sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu dari sudut penyediaan juadah berbuka puasa dan keperluan asas, malah membuktikan komitmen sektor korporat dalam menyokong inisiatif kebajikan komuniti.

Penghargaan khas turut diberikan kepada Kindness Malaysia atas kerjasama erat dalam aspek perancangan, penyelarasan serta pengurusan program di lapangan. Komitmen dan profesionalisme pasukan sukarelawan membantu memastikan kelancaran perjalanan program serta keselesaan para penghuni sepanjang majlis berlangsung.

Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara pemain bola sepak profesional, organisasi sukan dan masyarakat, di samping menyemarakkan semangat berkongsi rezeki serta kasih sayang, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp