
Pada 5 Ogos 2026, Program kedua sempena PFAM Women Football Week 2026 iaitu PFAM Women Football Forum, berjaya menghimpunkan lebih 70 tetamu yang terdiri daripada pemain, jurulatih, penggiat industri, media, serta peminat bola sepak wanita dalam satu platform yang mengetengahkan perbincangan bermakna mengenai pembangunan bola sepak wanita di Malaysia.
Forum ini turut dihadiri Presiden PFA Malaysia, Razman Roslan, Timbalan Presiden PFA Malaysia, Zaquan Adha, Ahli EXCO PFA Malaysia, Kenny Pallraj, Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia, Izham Ismail, serta Setiausaha Agung FA Selangor, Izrin Nabil, yang bersama-sama menunjukkan komitmen dalam menyokong perkembangan bola sepak wanita.
Sesi pertama bertajuk “The Player Ecosystem” dikendalikan oleh wartawan sukan New Straits Times, Farah Azharie, yang bertindak sebagai moderator. Perbincangan menampilkan Soleen Al-Zoubi, Pengarah Teknikal Bola Sepak FA Malaysia, bersama pemain kebangsaan wanita Pakistan dan Kelana United, Maria Khan.
Panel berkongsi pandangan mengenai pembangunan ekosistem pemain wanita, kepentingan laluan pembangunan yang jelas, peranan organisasi dalam menyokong pemain, serta pengalaman di peringkat antarabangsa yang boleh dijadikan rujukan untuk memperkukuhkan landskap bola sepak wanita di Malaysia.
Forum diteruskan dengan sesi kedua bertajuk “Growing The Women’s Game” yang dikendalikan oleh pengacara sukan RTM, Ninie Ibrahim. Sesi ini menampilkan Fina Nasrom dari Astro Arena dan pemain kebangsaan wanita merangkap pemain Young Tigress, Fatin Shahida, sebagai panelis.
Perbincangan memberi fokus kepada usaha memperluaskan pengaruh bola sepak wanita, meningkatkan liputan media, memperkasakan pendedahan kepada pemain wanita, serta membina lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk terus berkembang dalam sukan ini.
Program turut diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif bersama para hadirin yang memberi peluang kepada peserta berkongsi pandangan, mengemukakan soalan, serta bertukar idea secara langsung bersama panel. Sesi tersebut mencerminkan minat dan kesungguhan komuniti bola sepak dalam bersama-sama memacu kemajuan bola sepak wanita negara.
PFAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua panel, moderator, tetamu jemputan dan peserta yang telah menjayakan PFAM Women Football Forum 2026. Diharapkan forum ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi, perkongsian ilmu dan inisiatif yang mampu memperkukuhkan ekosistem bola sepak wanita di Malaysia.
PFAM Women Football Forum merupakan program kedua dalam siri PFAM Women Football Week 2026, sebuah inisiatif yang meraikan pencapaian wanita dalam bola sepak sambil membuka ruang kepada perbincangan, pembangunan dan inspirasi untuk generasi akan datang.
Gambar penuh di :https://www.facebook.com/share/p/19FvasjxTx/




