KUNJUNGAN HORMAT PFA MALAYSIA KE UM-DAMANSARA UNITED #PFAMTour2026

 

Persatuan Pemain Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Kelab UM-Damansara United di Arena Sukan, Universiti Malaya, dalam siri #PFAMTour2026

Delegasi PFA Malaysia diketuai oleh Presiden, En. Razman Roslan, bersama Exco, En. Kenny Pallraj dan Ketua Pegawai Eksekutif, En. Izham Ismail. Turut hadir mewakili UM-Damansara United ialah Pengurus pasukan, En. Afizal Abu Othman.

Menerusi kunjungan tersebut, pihak PFA Malaysia telah menyampaikan taklimat berkaitan fungsi dan peranan persatuan dalam memperjuangkan kebajikan serta melindungi kepentingan pemain bola sepak profesional di Malaysia.

Sesi berkenaan turut memberi penekanan terhadap kesedaran pemain mengenai hak mereka, khususnya dalam aspek kontrak pekerjaan, terma dan syarat perjanjian serta kepentingan memahami kandungan kontrak sebelum menandatangani sebarang persetujuan bersama kelab.

Pendedahan ini penting bagi memastikan pemain mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk membuat keputusan secara lebih bijak, memahami tanggungjawab profesional serta mengetahui saluran yang boleh dirujuk sekiranya berhadapan dengan sebarang isu berkaitan hak dan kebajikan mereka.

PFA Malaysia percaya bahawa pendidikan dan kesedaran mengenai hak pemain merupakan antara elemen penting dalam membentuk ekosistem bola sepak yang lebih profesional, telus dan bertanggungjawab.

Melalui kunjungan seumpama ini, PFA Malaysia berharap hubungan kerjasama bersama kelab-kelab bola sepak tempatan dapat terus diperkukuh, sekali gus memastikan pemain bukan sahaja berkembang dari sudut prestasi di atas padang, malah mempunyai pengetahuan yang baik untuk melindungi kepentingan serta masa depan kerjaya mereka.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp