Supporting the Players, Building the Game

Sidang Media PFAM: Isu Tunggakan Gaji Pemain Perlis FA

PCPerlis

Sumber Gambar: www.asiana.my

Pada 30 Disember 2014, satu sidang media khas Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) telah diadakan di Gloria Jean’s Coffee, Setiawalk, Puchong, Selangor. Tujuan utama sidang media diadakan adalah bagi menjelaskan kepada semua pihak berkenaan isu tunggakan gaji pemain Perlis FA yang tidak dibayar gaji selama 5 bulan.

PFAM telah menjemput 12 bekas pemain Perlis FA bagi menerangkan kepada pihak media berkenaan isu tersebut. Saudara Khairi Zainuddin yang merupakan bekas kapten Perlis FA mewakili rakan-rakan yang lain, tampil menceritakan kesusahan dan kesengsaraan yang dialami oleh mereka akibat keingkaran pengurusan Perlis FA untuk melunaskan gaji mereka yang tertunggak sudah sekian lama.

Selain itu, Presiden PFAM, Saudara Hairuddin Omar menggesa supaya pengurusan Perlis FA untuk menyelesaikan perkara ini dengan kadar segera kerana ia boleh merosakkan imej bolasepak di Malaysia. Beliau juga bimbang gejala-gejala yang tidak sihat seperti isu rasuah, pengaturan perlawanan dan sebagainya boleh menular sekiranya perkara asas seperti pembayaran gaji tidak mampu diselesaikan oleh persatuan bolasepak.

Perkara ini dipersetujui oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Saudara Izham Ismail yang menyatakan bahawa PFAM tidak akan teragak-agak untuk membawa kes ini ke peringkat yang lebih tinggi. Sekiranya kes ini menemui jalan buntu, PFAM akan melaporkan kepada FIFA dan FIFPro yang merupakan badan dunia bolasepak. Penyelesaian di mahkamah juga akan digunakan sekiranya perkara kes ini gagal diselesaikan secara persetujuan bersama.

PFAM berharap agar isu yang berlaku di Perlis FA menjadi iktibar kepada persatuan dan kelab bolasepak di Malaysia agar tidak terus berleluasa kerana ia bakal merugikan semua pihak dalam arena bolasepak.

 

“SUPPORTING THE PLAYERS, BUILDING THE GAME”

Tuan Muhammad Arief 

Eksekutif Pemasaran & Komunikasi

PFA Malaysia

 

Building the Game