MENAMATKAN KONTRAK DENGAN SEBAB YANG ADIL DAN MUNASABAH

Secara umumnya, kontrak tidak boleh dibatalkan oleh mana-mana pihak, sama ada kelab atau pemain semasa musim berlangsung. Di bawah Artikel 14 Peraturan Mengenai Status Dan Perpindahan Pemain FIFA serta FAM telah dinyatakan bahawa kontrak hanya boleh ditamatkan oleh mana-mana pihak dengan sebab yang munasabah tanpa sebarang akibat di atas sebab adil dan munasabah. Pihak yang menamatkan kontrak tersebut tidak akan dikenakan pembayaran gantirugi atau dikenakan tindakan kesukanan jika kontrak ditamatkan dengan sebab yang adil dan munasabah.

Artikel 14A Peraturan Mengenai Status Dan Perpindahan Pemain FAM pula menyatakan bahawa, kelab yang gagal membayar Pemain sekurang-kurangnya dua bulan gaji pada tarikh yang telah ditetapkan, pemain akan dianggap mempunyai sebab yang munasabah untuk menamatkan kontraknya dengan kelab tersebut.

Satu syarat yang perlu dipatuhi oleh pemain ialah, pemain mestilah telah memaklumkan kelab yang berhutang secara bertulis dan memberikan kelab tersebut sekurang-kurangnya 15 hari untuk membayar tunggakkan gaji. Namun begitu, peruntukan alternatif dalam kontrak yang sedia ada pada masa peruntukan ini berkuatkuasa boleh dipertimbangkan.

Seterusnya, dalam kes di mana sebarang gaji Pemain yang tidak perlu dibayar secara bulanan, nilai pro-rata yang bersamaan dengan dua bulan akan dipertimbangkan. Jumlah pembayaran yang tertangguh, di mana ianya bersamaan dengan sekurang-kurangnya dua bulan gaji juga akan dianggap sebagai sebab yang adil dan munasabah untuk pemain menamatkan kontraknya. Walau bagaimanapun, ianya tertakluk kepada pemain untuk mematuhi notis penamatan sebagaimana yang telah dibincangkan di atas.

Penamatan kontrak atas alasan kesukanan yang munasabah, seperti yang termaktub di bawah Artikel 15 turut boleh diambil sekiranya seseorang pemain Profesional itu membuat penampilan kurang daripada sepuluh peratus (10%) daripada Perlawanan Rasmi di mana kelabnya telah terlibat, dalam musim semasa. Penamatan atas sebab kesukanan yang munasabah hendaklah dinilai berdasarkan kes demi kes.

Dalam kes Adrian Mutu v Chelsea Football Club CAS/2008/A/1644, kes ini melibatkan situasi di mana kelab telah menamatkan kontrak pemain berikutan pemain telah bertindak menyalahi undang-undang. Chelsea secara sah menamatkan kontrak Mutu pada Oktober 2004 kerana melanggar kontrak selepas pemain itu didapati positif kokain. Mutu telah diharamkan oleh Persatuan Bola Sepak Inggeris selama tujuh bulan pada November 2004, yang kemudiannya telah dilanjutkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk berkuat kuasa di seluruh dunia.

Namun, Mutu berpindah untuk menandatangani kontrak lima tahun dengan Juventus pada Januari 2005. Juventus, bagaimanapun, tidak dapat mendaftarkannya secara langsung, kerana mereka telah menandatangani bilangan tahunan pemain bukan EU yang dibenarkan dari luar negara. Selain menamatkan kontrak pemain, Chelsea turut menuntut ganti rugi daripada Mutu untuk kerugian yang mereka alami daripada yuran perpindahan £15.8m dari Parma. Kes ini jelas menunjukkan bahawa selain bertanggungjawab untuk membayar pampasan, tindakan- tindakan kesukanan juga akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar Kontrak, samada pemain mahupun kelab.

Dalam dimensi bola sepak Malaysia, klausa untuk menamatkan kontrak dengan alasan yang munasabah kebiasaannya digunakan apabila berlaku tunggakan bayaran gaji terhadap pemain yang membabitkan jumlah dua bulan gaji atau lebih. Perkara ini sangat penting untuk dititikberatkan oleh semua pihak kerana pemain mempunyai hak yang jelas seperti termaktub di dalam Peraturan Mengenai Status Dan Perpindahan Pemain FIFA serta FAM.

Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat terutamanya pihak pihak di dalam kontrak untuk memastikan obligasi yang dipersetujui di dalam kontrak untuk terus dihormati dan dipatuhi.

Share this article:

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp