Persatuan Pemain Bolasepak Malaysia (PFAM) dengan kerjasama Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) telah menganjurkan kursus kejurulatihan Diploma ‘C’ AFC/FAM yang bertempat di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor pada 13-21 November 2023 untuk (fasa 1) dan 8-13 Januari 2023 (fasa 2)
Kursus ini telah disertai sebanyak 22 orang peserta yang terdiri daripada pemain bola sepak profesional yang aktif bermain seperti Wan Zack Haikal, Sunil Chandran, Afif Asyraf, Nasriq Baharom, Syamim Yahya, Azridin Rosli dan beberapa pemain lagi dari bawah 23 tahun.
Kursus ini dianjurkan sebagai satu langkah awal dalam mempersiapkan para pemain dengan ilmu pengetahuan dalam dunia kejurulatihan bola sepak serta sebagai persiapan untuk menempuhi alam selepas bergelar pemain bola sepak profesional di Malaysia.
Kursus yang berlangsung selama dua minggu ini telah dikendalikan oleh En. Richard Sinappan selaku jurulatih pendidik kursus dan dibantu oleh En. Iqbal Hanafi Masduki yang meliputi dari pelbagai aspek seperti teori dan praktikal semasa kursus ini dijalankan.
Majlis penutup kursus kejurulatihan ini telah disempurnakan oleh Presiden PFA Malaysia En. Safee Sali dan turut bersama En. Razman Roslan selaku Timbalan Presiden PFA Malaysia.
Visi PFAM untuk pemain bolasepak di bawah PFAM meneruskan legasi dan meneruskan bakti dalam bolasepak Malaysia dan PFAM akan terus komited untuk memberi platform kepada semua pemain untuk memajukan diri dalam apa jua bidang termasuk kejurulatihan dan program seumpama ini akan terus diadakan di masa hadapan.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua peserta kerana berjaya menamatkan Kursus Kejurulatihan AFC/FAM Lesen ‘C’ dan semoga para peserta bakal menjadi jurulatih bola sepak yang berjaya untuk masa hadapan bola sepak negara.