Bagi meraikan ketibaan Ramadan pada tahun ini, Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyantuni individu-individu kelainan upaya di Program Taja Mereka pada 29 Mac 2023. Dengan Kerjasama @kindnessmalaysia , majlis berbuka puasa pada kali ini dianjurkan bersama Malaysian Association for the Blind (MAB) dan Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) di Kuala Lumpur.
Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini merupakan inisiatif PFA Malaysia bersama rakan penaja, Tetuan Arif & Iskandar dalam berkongsi rezeki dengan golongan kelainan upaya di samping menghulurkan sedikit sumbangan bagi memenuhi keperluan pada bulan Ramadan. Program Taja Mereka ini dihadiri oleh Presiden PFAM, Encik Mohd Safee bin Mohd Sali, Timbalan Presiden PFAM, Encik Razman bin Roslan dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Encik Izham bin Ismail.
Menurut Safee Sali, PFAM sangat bertuah untuk bersama-sama di dalam program berbuka puasa pada hari ini. Hubungan yang terbina melalui program ini akan memastikan kami akan sentiasa komited dalam membantu masyarakat dan pada masa yang sama mendalami erti Ramadan yang sebenar.
“Saya berharap agar hubungan baik antara pemain bola sepak profesional dengan golongan yang memerlukan ini akan terus berterusan pada masa yang mendatang.”ujar beliau lagi.
Dengan kehadiran lebih daripada 250 orang tetamu, Program Taja Meraka pada tahun ini dianjurkan dengan meriah bersama juadah berbuka puasa serta sumbangan mainan yang diberikan khas buat anak-anak yang menghadiri majlis tersebut.